Jurucakap Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berkata, program tersebut dilaksanakan dengan tumpuan kepada golongan pelajar prestasi rendah dari keluarga berpendapatan rendah di Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing, Johor.

“Mereka sudah bersiap sedia untuk mencapai keputusan yang lebih cemerlang selepas mengikuti program Latihan Akademik empower ECER tahun ini. Usaha ini merupakan sebahagian daripada strategi inklusif dan kerajaan supaya mereka mampu mencapai kejayaan dalam bidang akademik.

“Pencapaian ini seterusnya akan membuka peluang kepada mereka untuk melanjutkan pendidikan dan memperoleh kejayaan dalam kerjaya mereka, bagi mencapai mobiliti sosial yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menyedari cabaran-cabaran akademik yang dihadapi oleh pelajar-pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, program empower ECER menggunakan pendekatan khusus dan menyeluruh untuk membantu para peserta mencapai keputusan akademik yang lebih baik.

Menurut ECERDC, salah seorang pelajar yang mengikuti program itu ialah Nurul Nadhirah Mohd Nor dari Tanah Merah, Kelantan, yang datang dari keluarga dengan sumber pendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan dan hanya mendapat 3A dalam peperiksaan akhir tahun lalu.

“Walaupun diduga dengan kesempitan hidup, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mahmod Paduka Raja 1 ini gigih menghadiri kelas tuisyen serta kursus motivasi di bawah program empower ECER. Hasilnya dia berjaya meraih keputusan 7A dalam peperiksaan percubaan SPM baru-baru ini,” menurut jurucakap itu lagi.

Tambahnya, Fatin Nur Ain dari SMK Ungku Husin, Mersing, Johor, juga adalah contoh untuk tidak menjadikan kemiskinan sebagai penghalang dengan usaha keras ulang kaji sehingga berjaya mendapat 6A dalam percubaan SPM sebelum ini. Fatin Nur memasang impian menjadi guru untuk kembali menyumbang kepada masyarakat,” ujarnya.

Pencapaian Nurul Nadhirah dan Fatin Nur katanya, merupakan antara kisah kejayaan program empower ECER di mana antara tahun 2010 dan 2017, program Latihan Akademik empower ECER telah memberikan impak yang besar kepada lebih daripada 51,400 pelajar berprestasi rendah melibatkan 441 buah sekolah termasuk 18 sekolah Orang Asli. -UTUSAN ONLINE