MUHAMMAD RAUL RAHMAT
MUHAMMAD RAUL RAHMAT

Berbekalkan kecekalan dalam menimba ilmu, Muhammad Raul, 21, percaya berkat doa dan sokongan padu terutama daripada ibu bapanya telah melayakkannya turut menerima anugerah pelajar terbaik kategori pelajar istimewa daripada KUG.

Katanya, perasaan itu sukar digambarkan kerana sepanjang tiga tahun setengah belajar dalam bidang itu, cabaran sangat banyak malah kerana selalu memikirkan perasaan ibu bapanya, semangat belajar itu datang dengan sendirinya.

“Saya sukar berkomunikasi dengan rakan-rakan dan pensyarah, setiap kali ada kuliah dan kerja yang perlu disiapkan semasa di kolej, saya terpaksa berusaha keras serta sentiasa pujuk diri sendiri untuk buat yang terbaik.

“Saya berasa amat bersyukur dengan kejayaan ini. Kekura­ngan yang ada tidak pernah mematahkan atau membantutkan semangat saya untuk terus belajar. Hari ini saya sudah buktikan kepada mereka di luar sana bahawa pelajar autisme juga mampu menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan negara,” katanya.

Majlis istiadat konvokesyen itu dirasmikan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Yang turut hadir, Canselor KUG merangkap Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Tan Sri Dr. Zulhasnan Rafique dan Presidennya, Prof. Dr. Mohaizi Mohamad.

Sementara itu, Salah Ghumiem, 37, yang berasal dari Libya dan Saifal Mahmud, 24, warga Bangladesh yang masing-masing mengikuti jurusan Pentadbiran Perniagaan telah diumumkan sebagai pelajar terbaik bagi peringkat sarjana dan sarjana muda.

Pelajar terbaik diploma pula dianugerahkan kepada pelajar jurusan Farmasi yang berasal dari Batu Pahat, Johor, Auni Husna Massa’ad, 22.

Terdahulu, Johari dalam ucapannya berkata, KUG amat menitikberatkan prinsip serta nilai pasaran justeru program yang ditawarkan akan memberi peluang kepada pelajar melakukan persediaan selari dengan pembangunan revolusi industri keempat yang difokuskan kerajaan.

“Perkara ini selaras de­ngan usaha kerajaan bagi mendukung industri teknologi maju sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga buruh.

“Antara sektor yang diberi penekanan adalah termasuk sektor automasi, pembangunan robotik, serta ‘big data’ dan kerajaan sedang berusaha ke arah itu,” katanya.

Dalam majlis tersebut seramai 1,037 pelajar daripada pelbagai jurusan menerima ijazah sarjana, sarjana muda, diploma serta sijil masing-masing.