Nur Syafiqah Muhammad Hilmi ceria mempamerkan sijil dan piala sambil ditemani ibu bapa dalam majlis Anugerah Cemerlang SK Convent Sentul 1 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Murid Tahun 1 Amanah SKCSS itu antara murid cemerlang Tahun 1 pada majlis tersebut yang turut menyaksikan seramai 146 penerima anugerah cemerlang sekolah antaranya anugerah mata pelajaran terbaik, anugerah kehadiran penuh, anugerah pemenang kuiz, anugerah pembaca terbanyak, dan Tokoh Nilam.

Nur Syafiqah anak sulung pasangan Muhammad Hilmi, 37, dan Rosnani Bakhtiar, 36, menghidap masalah saraf sehingga menyebabkan bahagian kaki kiri kanak-kanak itu mengalami kesukaran untuk berjalan dengan sempurna.

Menurut Muhammad Hilmi, walaupun sukar untuk berjalan normal namun ia tidak menghalang Nur Syafiqah untuk aktif dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain malah bebas untuk mencuba bermain dengan apa jua bentuk permainan yang disukai anaknya itu.

“Saya tidak sekat jika Nur Syafiqah bertanya boleh ke tidak dia bermain atau mencuba sesuatu kerana saya tidak mahu kekurangan yang dialaminya menghalang dia untuk menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.

“Biar Nur Syafiqah tahu bahawa dia tidak ada apa kekurangan, dia juga boleh bermain dan mampu untuk menjadi murid cemerlang seperti kawan-kawannya yang lain,’’ katanya.

Nur Syafiqah menerima sijil dan hadiah anugerah pada majlis itu yang dirasmikan oleh Presiden MyPPP Tan Sri M. Kayveas dan turut disertai Guru Besar SKCSS, Norhayati Abd. Kadir.

Turut meyerlah pada majlis itu murid tahun 2 Mulia, Issabella Ganapathy yang dinobatkan sebagai murid cemerlang bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia Penulisan dan mata pelajaran Pendidikan Moral, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.