Menurut Ketua Unit Video Kokurikulum, Sektor Penyiaran Pendidikan, Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Mohd. Azemi Mohd. melalui video yang dihantar pelajar memahami erti perpaduan antara kaum dan kepentingan untuk mengekalkan semangat muhibah dalam kalangan rakyat.

"Dari segi mesej ada dua atau tiga video menyampaikan mesej yang sangat baik. Sekiranya mereka ini diberi kursus dan pendedahan, saya rasa video mereka akan menjadi sangat menarik.

"Dari sudut teknikal saya rasa banyak lagi yang perlu diperbetulkan. Umpamanya dari sudut teknik mengambil visual. Mengapa shot dekat, kenapa shot bergerak semua itu dalam pengambaran ada maksud . Kita tidak boleh mengambil shot sesuka hati," kata Mohd. Azemi.

Mohd. Azemi berkata demikian selepas mengadakan sesi penjurian bersama-sama tujuh juri termasuk Pengurus dan Pengarang Unit Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim dan wakil syarikat Orando Holdings Sdn. Bhd, Carison Lee yang menjadi penaja pertandingan di ibu pejabat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad.

Pertandingan  Video Pendek #muhibah yang hanya terbuka kepada pelajar sekolah menengah di seluruh nengara berlangsung selama setahun dari 1 Januari lalu hingga 31 Disember tahun ini.

Pelajar hanya perlu menghasilkan video berdurasi tidak lebih dua minit bertemakan muhibah dan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Empat video terbaik akan dipilih sebagai pemenang yang akan memperoleh wang tunai RM1,000 setiap satu. Manakala 10 lagi video akan menerima hadiah saguhati berupa langanan e-papar Utusan Malaysia dan tiket taman tema dan Sky Tower Melaka.

Sementara itu Wahid berkata, penyertaan Pertandingan  Video Pendek #muhibah semakin bertambah sejak ia diperkenalkan awal tahun ini.

"Untuk bulan Februari dan Mac kita dapat penyertaan yang banyak. Jadi kita sudah senarai pendek dan pada hari ini kita buat penjurian 29 video.

"Pada bulan Januari kita hanya dapat 15 video pendek dari pelajar.  dan kin semakin bertambah. Mungkin sebab inisatif-inisiatif yang kita sudah buat. Seperti kita buat bengkel penataran video di beberapa buah sekolah di ibu negara. Pemenang untuk bulan Februari dan Mac kita akan umumkan sebelum 15 Jun ," kata Wahid.

Bagi sekolah yang berminat untuk menyertai bengkel penataran video dan untuk sebarang pertanyaan boleh menghubungi Unit Penjenamaan Kumpulan Utusan di talian 01119472062.

Maklumat lanjut mengenai syarat dan borang penyertaan boleh diperolehi di laman web #muhibah menerusi alamat pautan www.muhibah.my. -UTUSAN ONLINE