Pengetua SMK Bandar T6, Mohamed Yusope Hassan berkata, kejayaan wakil sekolahnya bermula dengan mendapat hadiah saguhati pada Januari sebelum meraih kemenangan sulung membawa pulang hadiah utama untuk edisi Februari-Mac lalu.

“Momentum kemenangan ini berterusan apabila sekali lagi, pelajar kami berjaya menang hadiah utama, sekali gus membuktikan bahawa sekolah kategori luar bandar juga berdaya saing, memiliki potensi dan berbakat.

“Minat pelajar yang tinggi dan sokongan guru merupakan antara faktor penyumbang kejayaan dalam pertandingan yang amat bermanfaat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis penyampaian hadiah pertandingan itu di Ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain kumpulan We Are The Best dari SMK Bandar T6, majlis tersebut turut menobatkan tiga lagi pemenang utama iaitu kumpulan Convent Film Crew (SMK Convent Batu Pahat, Johor), Star Girls (SMK Seksyen 16, Shah Alam) dan BDB Boys (SMK Bandar Damai Perdana, Cheras).

Kesemua mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan sijil penyertaan tajaan Orando Holdings, manakala 18 lagi kumpulan dari sekolah lain menerima hadiah saguhati serta langganan e-paper Utusan Malaysia selama setahun.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Unit Sektor Pembestarian Sekolah Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Shaharizan Ibrahim.

Turut hadir, Wakil Orando Holdings, Joey Thum Pui Yee; Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor dan Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah

Menurut Mohamed Yusope, galakan pengh asilkan video pendek akan diberikan kepada calon Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) selepas mereka selesai menduduki peperiksaan tersebut.

“Hal ini membolehkan pelajar meneroka minat dalam bidang kreatif selain mengisi masa lapang dengan perkara bermanfaat,” ujarnya.

Beliau menambah, pihaknya bercadang untuk membuat video bual bicara selain siaran radio Semekap.fm sebagai hiburan berinformasi di sekolah.