Guru Penyelaras Program, Siti Zaliha Mat Hassan berkata, pendedahan itu membolehkan pelajar mempelajari teknik yang betul dalam menghasilkan video selain memberi nilai tambah dalam pembelajaran mereka.

“Pertandingan ini merupakan usaha yang baik dan wajar dicontohi pihak lain kerana menyediakan platform kepada pelajar menyampaikan mesej perpaduan,” katanya ketika ditemui selepas sesi Penataran Vi­deo #muhibah KPM-Utusan di VI di sini, hari ini.

Pertandingan Video Pendek #muhibah Utusan Malaysia-Utusan Online yang bermula 1 Janua­ri lalu sehingga 31 Disember ini terbuka kepada semua pelajar sekolah menengah dan penyertaan adalah percuma.

Sementara itu, seorang pelajar, Muhd Fuad Abdullah, 17, berkata, penyertaan dalam pertandingan tersebut memberi peluang ba­ginya untuk mempelajari teknik yang betul dalam penghasilan video selain maklumat-maklumat terkini mengenai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Kalau saya mengikuti kursus penyediaan video di luar mungkin melibatkan kos yang mahal tetapi hari ini kami bertuah kerana bukan sahaja mendapat pendedahan secara eksklusif mengenai menyediakan video yang betul,” ujarnya.

Dalam pada itu, rakan sekelasnya, Dhanesh Ramm, 17, berkata, penyertaan dalam program penataran video tersebut dapat mengeratkan hubungan sesama rakan sekolah selain diberi pendedahan berkaitan penyediaan video

“Selain dapat pengalaman menyediakan video dan bertanding di peringkat kebangsaan, saya akan gunakan ilmu yang ditimba hari ini untuk program di sekolah,” katanya.

Dhanesh menambah, selepas dimaklumkan oleh guru bahawa pertandingan tersebut sudah dibuka untuk penyertaan, dia bersama empat lagi rakannya tanpa berlengah merangka idea dan konsep video yang menepati kehendak penganjur.

“Merakam video memang aktiviti kegemaran kami malah sering bersama-sama dalam menjalankan pelbagai acara di sekolah dan ini merupakan platform terbaik untuk menyerlahkan kreativiti dalam menghasilkan kandungan digital mengenai konsep muhibah ini,” katanya.

Penyertaan pertandingan video pendek #muhibah dibuka sejak Januari lalu hingga 31 Disember 2018 kepada semua pelajar dan empat pemenang utama setiap bulan akan menerima wang tunai RM1,000, sijil pencapaian dan langganan e-paper selama setahun serta tiket masuk ke taman tema di Melaka.