Majlis Pelancaran Pecutan Akhir A+ Peringkat Kebangsaan 2018 di Maktab Tentera Diraja (MTD), Sungai Besi, Kuala Lumpur baru-baru ini bukan saja bertujuan memperkenal konsep pentaksiran secara dalam talian yang menyeronokkan, malah mengambil kira gaya pembelajaran berdasarkan teori kepelbagaian kecerdasan anjuran Tutordotcom Solution Sdn. Bhd. Ikuti wawancara dengan KOMANDAN MTD, BRIGADIER JENERAL ABDUL HALIM ABU HASSAN berhubung pemilihan program itu sebagai ‘senjata sulit’ memastikan kemenangan putera-putera MTD dalam SPM 2018.

MYSEKOLAH: Bagaimana MTD terlibat dengan Pelancaran Pecutan Akhir A+ Peringkat Kebangsaan 2018?

ABDUL HALIM: Apabila dinyatakan soalan dibangunkan oleh panel terpilih yang merupakan penulis soalan peperiksaan, saya yakin soalan-soalan yang dibentuk hampir ketepatannya dengan SPM. Peluang ini harus diambil memandangkan masa untuk calon SPM adalah suntuk apatah lagi setiap individu mempunyai tumpuan mata pelajaran tertentu. Terdapat lima subjek dalam A+ dan ini menjadi alternatif kepada putera-putera MTD selain buku teks dan contoh-contoh soalan tahun lalu.

Apakah harapan terhadap pencapaian putera-putera untuk SPM tahun ini?

Setiap program oleh pihak maktab sejak awal tahun adalah untuk pembangunan putera-putera menerusi pelbagai aspek termasuk kerjasama dengan sekolah-sekolah premier di luar. Kita juga mengadakan pelbagai aktiviti pembelajaran untuk mempertingkat taraf pengetahuan putera, sebagai contoh mereka menjadi tenaga pengajar. Untuk itu, putera perlu mengetahui sesuatu subjek dengan mendalam kerana ia turut melibatkan pelajar dari sekolah lain.

Keputusan peperiksaan awal dan pertengahan tahun serta peperiksaan percubaan grafnya meningkat. Bahkan soalan-soalan yang dikeluarkan pihak MTD sendiri selalunya lebih sukar daripada SPM sebenar.

Saya yakin keputusan lebih positif akan diperoleh putera-putera pada tahun ini. Kita juga menetapkan sasaran Gred Purata Sekolah (GPS) 1.99.

Bagaimana dengan pengambilan baharu putera-putera MTD untuk tahun 2019?

Sebenarnya promosi untuk kemasukan kita telah laksanakan sejak awal tahun lagi. Kita telah ke beberapa negeri termasuk Sabah dan Sarawak dengan tumpuan kepada calon-calon Pentaksiran Tingkatan 3 dari sekolah dengan tahap pendidikan yang tinggi.

Kita juga memberi perhatian kepada sekolah pelbagai kaum seperti sekolah-sekolah jenis kebangsaan, malah kita turut menerima jemputan dari pelbagai sekolah lain yang meminta kami membuat pameran dan pendedahan kepada pelajar-pelajar mereka.

Berapakah sasaran pengambilan untuk 2019?

Kita rancang 220 orang tahun hadapan kerana itu kapasiti yang sesuai dengan kemudahan penginapan, juga berdasarkan bilik darjah dan tenaga pengajar.

Mereka yang berminat boleh mendaftar di rmc.edu.my. Sekiranya mereka gagal mendaftar secara dalam talian, calon juga boleh menelefon kami untuk pendaftaran atau datang sendiri ke MTD.

Syarat yang kami letakkan adalah minimum 7A dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dengan keputusan peperiksaan percubaan hanya digunakan sebagai panduan. Kita terima dari pelbagai kelompok serta latar belakang dan kita tidak tetapkan nisbah, bahkan ada pelajar dari keturunan Orang Asli juga. Saya dapati ini adalah petunjuk yang bagus untuk arus pendidikan negara

Adakah akan dibuka semula pengambilan untuk Tingkatan 1?

Bukan kita tidak berminat tetapi ada beberapa isu seperti penginapan kerana mungkin dihadkan kepada 100 orang iaitu bilangan yang tidak sesuai untuk institusi ini.

Di samping itu, keunikan MTD adalah ketenteraan dan latihan sedemikian mungkin tidak sesuai. Walaupun pada hakikatnya pengambilan Tingkatan 1 banyak kelebihan, kerana pelajar-pelajar yang cemerlang dari segi akademik kebanyakannya diambil oleh Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Sains dan sebagainya.

Alhamdulillah, itu tidak bermakna keputusan putera-putera MTD jauh ketinggalan dalam SPM kerana peningkatan sentiasa berlaku setiap tahun.