Yang Dipertuanya, Muhammad Aznur Syah Azman berkata, tugas utama mahasiswa adalah untuk menyempurnakan pengajian serta membanggakan ibu bapa dan keluarga, bukan untuk mencari kemewahan.

Sehubungan itu, katanya, jangan ada mahasiswa yang mengambil jalan mudah untuk hidup senang walaupun ramai mengetahui perniagaaan MLM akan menyebabkan kehidupan mereka terjerumus ke dalam pelbagai masalah sosial.

"Penglibatan mahasiswa secara ugutan, paksaan serta diarah berhutang semata-mata terlibat dalam perniagaan MLM ini secara tidak langsung memberi impak negatif dalam kawasan kampus.

"Sindiket ini mengambil kesempatan ke atas sifat ingin tahu dan hidangan gaya hidup mewah kepada mahasiswa kampus melalui pelbagai medium dan platform," katanya dalam  kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini mengenai sindiket MLM yang menjerat mahasiswa.

Dalam pada itu, Muhammad Aznur Syah menambah, pihak universiti sentiasa menggalakkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan pelajar selain menyediakan pelbagai medium bagi mahasiswa memulakan perniagaan sendiri.

Oleh itu, katanya, para mahasiswa seharusnya mengambil peluang dan ruang yang disediakan UiTM dengan sebaik-baiknya.

"Pusat Pembangunan Modal Insan Keusahawanan UiTM (Masmed UiTM) sentiasa bersedia membantu para pelajar untuk memulakan perniagaan secara sah dan teratur," ujarnya. -UTUSAN ONLINE