Timbalan Menterinya, Datuk Mary Yap Kain Ching seterusnya memuji komitmen UMT itu yang mula melaksanakannya di Terengganu tahun lalu dan kini dikembangkan secara lebih pro-aktif termasuk menjayakan kolokium STEM melibatkan Pahang dan Kelantan.

Beliau memberitahu, usaha itu juga memperlihatkan kolaborasi antara Kementerian Pendidikan Tinggi dengan Kementerian Pendidikan yang menjurus kepada hubungan `rapat dan mesra’ antara pihak UMT dengan sekolah-sekolah terpilih.

Pada masa sama, beliau turut berpuas hati dengan pendekatan UMT yang menampilkan para pelajarnya sebagai mentor untuk mendekati para pelajar sekolah khususnya di kawasan luar bandar agar meminati sains.

“Kita lihat usaha yang dilakukan oleh pihak UMT dengan memperluaskannya (STEM) ke negeri-negeri pantai timur memberi impak positif dari segi minat para pelajar terhadap bidang sains.

“Ini juga selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia khususnya bagi pendidikan tinggi yang dilancarkan kerajaan bermula 2015 hingga 2025. Ini adalah dasar nasional untuk capai sasaran 60 peratus pelajar dalam bidang sains dan 40 peratus lagi aliran sastera,” katanya.

Mary menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Kolokium Kebangsaan Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (KKPSTEM) Wilayah Pantai Timur 2017 dan pelancaran Modul STEM Plus UMT di kampus universiti itu di Gong Badak dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aeini Mokhtar.

Beliau seterusnya berkata, pada masa ini peratusan pelajar dalam aliran sains mencecah 30 peratus dan usaha sedang giat dijalankan bagi mencapai sasaran. - UTUSAN ONLINE