Pengarah Darul Quran Jakim, Dr. Nordin Ahmad berkata, modul yang diperkenalkan mengan­dungi pelbagai teknik kemahiran, pemahaman dan hafalan yang bersesuaian dengan keperluan pembelajaran murid seperti teknik mendengar, menulis, gambaran atau gabungan kesemua teknik itu.

“Kami akan fokus mengikut kekuatan atau potensi peserta bagi membolehkan kita mempraktikan teknik hafalan yang mana sesuai dengan keperluan mereka.

“Setelah dikenal pasti teknik mana yang sesuai, kita akan bantu peserta untuk melancarkan pembacaan dan membaiki teknik sehingga mereka mampu menguasai pembacaan dengan baik serta menghafal surah de­ngan sempurna,” katanya.

Menurut beliau, setiap peserta mempunyai perbezaan dalam menguasai sesuatu pembelajaran dan potensi mereka perlu dikenal pasti supaya mudah untuk diketengahkan.

Menurut Nordin, menerusi kem ini, peserta juga akan di­didik untuk seimbang dalam akademik dan tidak meninggalkan al-Quran.

“Kami mahu dedahkan peserta tentang tanggungjawab yang harus mereka laksanakan setiap hari sebagai pelajar dan pada masa yang sama tidak lupa membaca dan menguasai al-Quran dalam kehidupan harian, sekali gus mengekalkan amalan ini sehingga mereka dewasa,” ujarnya.

Beliau menambah, murid juga akan ditekankan dengan amalan solat Dhuha, membaca al-Quran dan qiamulail yang hakikatnya bukan lagi aktiviti luar biasa bagi seseorang individu yang beragama Islam malah sewajarnya menjadi rutin seharian.

“Selain itu, aktiviti riadah yang akan dilaksanakan juga bersifat dinamik bagi memastikan dapat menajamkan daya ingatan, me­ningkatkan tumpuan di samping mengasah kemahiran insaniah peserta,” katanya.