Membawa misi besar mengharumkan nama negara, bukan satu tugas mudah bagi kesemua 81 ahli yang terdiri daripada pelajar Victoria Institution ber­usia 13 hingga 17 tahun ini.

Walaupun sibuk dengan jadual kelas pada sebelah pagi, setiap da-ripada ahli dipastikan menjalani latihan sebelah petang bagi memantapkan lagi muzik dan formasi.

Menurut Ketua Guru Penasihat VICCB, Hasnani Abdul Sa­mad, beliau amat berterima kasih kepada semua pihak termasuk pengetua, Kamarul Azman Md. Arif dan pentadbir VI, guru-guru penasihat dan jurulatih yang tidak putus-putus memberi sokongan bagi merea­lisasikan hasrat pasukan itu bertan­ding di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, tidak dilupakan ibu bapa yang sentiasa bersedia menghulur tenaga,
masa dan wang ringgit demi anak-anak VICCB.

“Alhamdulilah VICCB bertuah kerana dikelilingi oleh individu yang mempunyai semangat dan aura yang positif. Masing-masing sentiasa melihat ke hadapan walaupun terpaksa berdepan de­ngan pelbagai cabaran.

“Paling utama semangat berpasukan dan jati diri yang dimiliki ahli VICCB sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Sementara itu pengarah pancaragam VICCB, Muhaizi Mudzakir, berkata, dalam tempoh beberapa hari ini fokus utama mereka adalah untuk memastikan segala persiapan dirancang mengikut jadual.

“Persiapan pasukan untuk ke Taiwan sudah mencapai 100 peratus siap.

“Sepanjang tempoh beberapa hari ini fokus lebih kepada memastikan ahli sentiasa sihat tubuh badan, mental dan fizikal. Insya-
Allah, saya percaya segalanya akan berjalan lancar,” katanya yang dibantu jurulatih berwibawa seperti Nazmi Naim Abdul Ghani, Zakaria Patrum, Hezrul Mohd. Hizham dan Fikrizaki Zakaria.

Katanya, latihan intensif yang dijalankan sejak November tahun lalu bukan sahaja sebagai persediaan untuk menyertai pertandingan di Taiwan tetapi juga bagi memenuhi undangan beberapa majlis dan pertandingan.

Antaranya, pertandingan pancaragam Junior Asia di Stadium Airasia, Kelana Jaya, Selangor pada minggu lalu.

Menduduki tempat kedua selepas pasukan pancaragam Swadaya, Sekolah Menengah Chung Hwa Wei Sin yang diumunkan sebagai juara ia tidak mematahkan semangat setiap ahli.

Sebaliknya, tanggungjawab le­bih besar menanti mereka adalah pertandingan di Taiwan.

Selain guru-guru penasihat, rombongan ke Taiwan ka­li ini turut disertai ibu bapa yang secara sukarela untuk
sama-sama membantu menguruskan pasukan itu sepanjang pertandingan berlangsung.

Mewakili VICCB, Hasnani dan Muhaizi turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penaja seperti Malaysia Airlines, Kuok Brothers Sdn. Bhd., Permodalan Nasional Berhad, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Risda dan Top Glove.

Tidak dilupakan individu perseorangan, bekas ahli VICCB dan syarikat swasta.

Tiada yang mampu membalas jasa mereka selain doa daripada rakyat Malaysia agar VICCB mampu menjulang nama negara.