Pengarah Darul Quran Jakim, Dr. Nordin Ahmad berkata, kem ini bertujuan memberi kefahaman kepada peserta mengenai al-Quran, sirah dan perjuangan sahabat Ra­sullullah di samping memper­kenalkan persekitaran ke­hidupan pelajar tahfiz di Darul Quran.

“Sepanjang kem berlangsung, peserta akan menjalani modul harian yang khusus untuk me­ningkatkan kemahiran dan kua­liti mereka membaca serta menghafaz al-Quran.

“Untuk itu, peserta akan ditempatkan bersama dengan pelajar lelaki dan perempuan Darul Quran yang akan menjadi mentor kepada mereka,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Kubu Bharu, Selangor, baru-baru ini.

Kem yang julung kali diadakan ini terhad kepada 16 peserta sahaja berusia antara 10 hingga 12 tahun dengan syarat memiliki kelulusan Mumtaz.

Setiap penyertaan dikenakan yuran sebanyak RM350 seorang merangkumi kos makan minum, penginapan dan buku log hafazan.

Menurut Nordin, 32 petugas Darul Quran terdiri daripada pensyarah dan pelajar terlibat menjayakan kem tersebut yang akan memberi motivasi dan semangat kepada peserta untuk menjalani kehidupan remaja muslim dengan membaca al-Quran, menunaikan solat Dhuha dan berqiamulail.

“Bagi memastikan kem ini benar-benar berkesan, Team Ka­unseling Darul Quran memba­ngunkan modul khusus menerusi saranan Ustaz Salahuddin Ghozali,” katanya.

Antara pengisian kem ini ter­ma­suklah teknik menghafal ber­kesan yang dikenali sebagai V.A.R.K, tasmik hafazan, Quran Oa­sis dan Khatam Quran.

Peserta juga akan mengikuti pelbagai aktiviti riadah, sesi suai kenal, menonton video dan praktikal solat fardu.

Untuk memastikan peserta fokus dan dapat memanfaatkan kem ini sepenuhnya, mereka akan menjalani sesi khas penetapan minda sebaik sahaja selesai urusan pendaftaran diri.

Kata Nordin, sesi ini penting bagi membetulkan niat peserta untuk menyertai kem yang bermatlamat membudayakan gaya hidup seorang huffaz bukan sahaja semasa kem tetapi sepanjang hayat.