Kem yang julung kali diadakan tahun ini itu disertai 20 murid berusia 9 hingga 12 tahun dan memiliki kelulusan Mumtaz atau menguasai asas pembacaan al-Quran.

Penyeleras Modul, Mohd. Zaharen Md. Zahir berkata, sepanjang kem berlangsung, peserta menjalani modul harian yang mengkhususkan kepada mening­katkan kemahiran dan kualiti mereka membaca serta menghafaz al-Quran.

Menurutnya, antara pengisian yang ditekankan pada kem tersebut termasuklah teknik menghafal berkesan yang dikenali sebagai V.A.R.K, tasmik hafazan, Quran Oa­sis dan Khatam Quran.

“Teknik menghafal V.A.R.K ini untuk melihat kesesuaian teknik menghafal yang sesuai mengikut peserta kerana mungkin ada yang boleh menghafal cara menulis dan ada juga dengan hanya boleh mendengar.

“Bagi memastikan kem ini benar-benar berkesan, Team Kaunseling Darul Quran membangunkan modul khusus menerusi saranan Timbalan Pengarah Ku­aliti Darul Quran, Ustaz Salahuddin Ghozali,” katanya ketika ditemui pada majlis pengenalan peserta Kem Remaja Tutor Generasi Al-Quran dekat Darul Quran Ampang Pecah baru-baru ini.

Kata Mohd. Zaharen, modul yang diperkenalkan mengan­dungi pelbagai teknik kemahiran, pemahaman dan hafalan yang bersesuaian dengan keperluan pembelajaran murid seperti teknik mendengar, menulis, gambaran atau gabungan kesemua teknik itu.

Selain itu, menurut beliau, seramai 32 petugas Darul Quran terdiri daripada pensyarah dan pelajar Diploma Pengajian Islam berperanan memberi motivasi dan semangat kepada peserta untuk menjalani kehidupan remaja muslim dengan membaca al-Quran, menunaikan solat Dhuha dan berqiamulail.

Ujar beliau, peserta juga akan mengikuti pelbagai aktiviti riadah, sesi suai kenal, menonton video dan praktikal solat fardu.

“Ini bagi membolehkan peserta mendapat fokus dan dapat memanfaatkan kem ini sepenuhnya selain itu peserta menjalani sesi khas penetapan minda sebaik sahaja selesai urusan pendaftaran diri.

“Sesi ini penting bagi membetulkan niat peserta untuk menyertai kem yang bermatlamat membudayakan gaya hidup seorang huffaz bukan sahaja semasa kem tetapi sepanjang hayat,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus dan Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim berkata, antara penekanan objektif kem itu ialah untuk memberi kefahaman kepada peserta mengenai al-Quran, sirah dan perjuangan sahabat Rasullullah di samping memper­kenalkan persekitaran ke­hidupan pelajar tahfiz di Darul Quran.

“Untuk itu, peserta akan ditempatkan bersama dengan pelajar lelaki dan perempuan Darul Quran yang akan menjadi mentor kepada mereka,” katanya.