Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pencapaian MBCC bertaraf antarabangsa telah memberi satu sumbangan yang menyokong dasar kerajaan serta hubungan antara Malaysia dan negara-negara lain.

“Saya kagum dengan MBCC yang telah menganjurkan program pertukaran guru di peringkat sekolah menengah dan pertukaran pelajar sekolah seperti dari Belitung, Bangka, Kerinci, Padang serta Palembang.

“Saya berharap hubungan antara sekolah rendah dan menengah di Malaysia dan Indonesia akan lebih erat dengan jaringan MBCC ini,” katanya ketika berucap dalam majlis Malam Gala Dinner Santai MBCC Asia di sini, malam ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan dan Presiden MBCC Asia, Datuk Seri Abdul Rahman Bakar. - UTUSAN ONLINE