Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Dr Ahmad Rafee Che Kassim berkata, kesedaran awam untuk tidak membiarkan anak-anak terkeluar daripada sistem pendidikan amat perlu demi masa hadapan generasi muda.

Beliau berkata, purata nasional bagi pelajar cicir peringkat sekolah menengah pada tahun lalu mencatatkan kadar 1.36 peratus dengan Kelantan berada di tempat kedua tertinggi iaitu 4.39 peratus di belakang Sarawak.

"Kita mahu masyarakat sama-sama ambil peranan sampaikan maklumat, hubungi kita jika dapati ada anak-anak di kawasan sekitar mereka yang tidak bersekolah kerana masalah tertentu.

"Cicir sekolah berbeza dengan ponteng sekolah, kalau kes anak-anak ponteng dia datang sekolah cuma ponteng pada waktu tertentu, yang kami bimbang adalah yang langsung tidak datang, mereka akan terlepas banyak peluang dan bantuan," katanya selepas merasmikan Program Transformasi Minda Anak Muda - Aspirasi Perubahan Generasi Pelapis Keluarga Nelayan Daerah Bachok di Sekolah Kebangsaan (SK) Pantai Senak di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Abdullah Mat; Ketua Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bachok, Mohd Faizul Yusoff dan Guru Besar, Mohd Daud Salleh.

Program itu bertujuan mendedahkan pelajar tentang peluang meningkatkan potensi diri dalam pelbagai bidang termasuk kemahiran selain memberi kesedaran kepada masyarakat supaya bersama mengatasi masalah keciciran.

Ahmad Rafee berkata, daerah Bachok menjadi lokasi keempat program sejak ia bermula awal tahun ini selepas Kuala Nerang, Kedah; Tapah, Perak dan Raub, Pahang yang menumpukan kepada kumpulan sasar berbeza iaitu golongan petani dan Orang Asli.

Jelasnya lagi, antara faktor keciciran adalah kekangan keluarga, jarak rumah yang jauh dari sekolah, isu kemiskinan dan masalah kesihatan.

Talian aduan yang boleh dihubungi orang ramai untuk membantu program sifar murid cicir di negeri ini adalah 09 7418147. - UTUSAN ONLINE