Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

MARA berjaya lahirkan tenaga pendidik terbaik

Terus sumbang bakti kepada anak bangsa, negara

ISMAIL SABRI YAAKOB bersama penerima- penerima Anugerah Tokoh Hari Pendidikan MARA 2017 di Kuala Lum
ISMAIL SABRI YAAKOB bersama penerima- penerima Anugerah Tokoh Hari Pendidikan MARA 2017 di Kuala Lumpur, kelmarin. UTUSAN/Nasirruddin Yazid

KUALA LUMPUR 17 Mei - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan terus me­mastikan para pendidik di Institusi Pendidikan MARA (IPMa) memberi perkhidmatan ya­ng cemerlang serta menyumbang idea dan tenaga kerja dalam pemba­ngunan modal insan di ins­titusi pendidikan di bawah Majlis Ama­nah Rakyat (MARA).

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sab­ri Yaakob berkata, pelbagai ini­siatif dilaksanakan MARA bagi mengekalkan kemampanan sistem pendidikan institusi itu termasuk meningkatkan tahap profesiona­lisme serta kompetensi pen­didik melalui kursus juga latihan sama ada di dalam ataupun lu­ar negara.

Katanya, sebanyak 399 orang daripada 11,035 pendidik IPMa berjaya memperoleh kelulusan di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) dan 2,366 orang di peringkat sarjana.

Usaha penambahan jumlah itu, tambah beliau, akan diteruskan dengan 346 orang pendidik IPMa sedang mengikuti program PhD, peringkat sarjana (769) dan terkini MARA meluluskan seba­nyak 21 orang pendidik dari Institut Kemahiran Mara (IKM) untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan, Automatif di Uni­versiti Kuala Lumpur (UniKL).

“Malah, baru-baru ini, MARA menandatangani perjanjian per­sefahaman (MoU) dengan Persatu­an Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA). Sebagai permulaan kerjasama ini, MARA akan menaja 15 orang pensyarah dari Kolej Profesional MARA (KPM) dan Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM) untuk mengikuti persijilan profesional ACCA.

“Pengajian ini akan bermula pada Julai nanti dengan perun­tukan sebanyak RM440,000,” ka­tanya ketika berucap sempena Sambutan Hari Pendidikan MARA 2017 di sini, semalam.

Tambah Ismail Sabri, MARA me­nyediakan satu ekosistem pen­didikan terbaik di negara ini meliputi pelbagai peringkat pendidikan bermula daripada pra-sekolah, pendidikan menengah, bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang terdiri daripada GIATMARA, IKM, Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Institut Perindustrian Ma­ra-Jepun (MJII), German-Malaysian Institute (GMI) dan UniKL.

“Di samping itu juga, bagi laluan akademik, MARA menawarkan program melalui institusi pendidikan seperti Kolej MARA (KM), KPM, Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), KUPTM dan Universiti Majlis Amanah Rakyat (UniMARA). Ini membuktikan bahawa pelan pembangunan pendidikan MARA berjaya melahirkan modal insan dalam memacu negara ke arah menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi,” ujarnya.

Menurutnya, buat masa ini MARA memiliki 343 pusat pendidikan dari peringkat pra sekolah hingga ke peringkat universiti.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), bagi pendidikan menengah, jelas beliau, kerajaan meluluskan pembinaan lima buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Bera, Pahang; Bagan Datoh, Pe­rak; Ketereh dan Tanah Merah di Kelantan serta di Sik, Kedah dengan nilai anggaran peruntukan sebanyak RM550 juta.

“Kerajaan turut meluluskan pembinaan kampus KPTM di Ipoh, Perak dan Semporna, Sabah dengan peruntukan seba­nyak RM110 juta bagi pendidikan pe­ringkat tertiari manakala dalam bidang TVET pula, IKM seberang Prai Utara (IKM SPU) akan mula membuat pengambilan pertama­nya pada sesi Julai nanti.

“IKM ini menawarkan program dalam bidang kompetensi elektrik tahap voltan rendah dan voltan tinggi sementara pembinaan KKTM Selama di Perak de­ngan anggaran peruntukan RM200 juta dijangka beroperasi pada 2019 yang memfokuskan bidang automatif khusus kepada kereta berkuasa tinggi dan kenderaan komersial serta motosikal berkuasa tinggi,” jelasnya.

Kata Ismail Sabri, selaku pe­lopor bidang TVET, UniKL akan terus menerajui pelbagai bidang baharu dengan kerjasama rakan strategik industri tempatan dan antarabangsa seperti Rapid Rail Sdn. Bhd dan JR Kyu­shu dari Jepun dalam bidang industri rel.

“Bidang baharu yang lain adalah teknologi air yang fokus kepada aktiviti mengkaji dan menambah baik amalan tadbir urus sumber air negara yang mana kampusnya akan dibina di Bera, Pahang.

“Ini menunjukkan bahawa kerajaan begitu prihatin terhadap ke­perluan pendidikan kepada rakyat terutama kaum bumiputera. Jus­teru, saya berharap para pendidik memainkan watak penting ke arah pembina negara bangsa dengan melahirkan warga glokal iaitu bumiputera yang berakar nasional dan internasional,” katanya.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain