Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kajang, Norazmi Md. Isa berkata, tablet yang dibekalkan perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) guru dengan membuat perancangan awal secara komprehensif menggunakan aplikasi yang disediakan.

“Penggunaan aplikasi Tutor Guru dilihat memudahkan dan mempercepat guru merancang PdPc dengan menggunakan pelbagai sumber yang sedia ada di Internet termasuk e-Paper Utusan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Intervensi Tablet Guru di sekolah itu di Kajang, Selangor, baru-baru ini.

Program yang disertai 51 guru ini dikendalikan Eksekutif Pemasaran Utusan Malaysia, Mohd. Firdaus Ahmad Sabli dan turut disertai Penolong Pengurus Pemasaran Utusan Malaysia, Mohammad Fahmi Asraf Khan.

Dalam program ini, guru dibimbing bagaimana membuat persediaan aktiviti PdPc yang memenuhi keperluan PAK-21 iaitu dengan membina lembaran kerja digital yang mengandungi soalan latihan, sumber rangsangan multimedia dan jawapan serta huraian.

Selepas tamat program itu, SK Kajang menerima pengiktirafan sebagai Sekolah Mentor bagi program penggunaan aplikasi Tutor Guru dan e-Paper Utusan Malaysia.

Menurut Norazmi, penggunaan aplikasi Tutor Guru juga menggalakkan pembangunan Ko­muniti Pembelajaran Profesional atau PLC.

“Dengan aplikasi ini, guru boleh berkongsi soalan dengan rakan sejawat dari sekolah lain,” katanya.

Sehingga kini, guru di Sa­ra­wak, Selangor, Wilayah Perseku­tuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, Nege­ri Sembilan, Pe­rak dan Johor telah mene­rima tablet ini.

Tablet serupa dijangka diagihkan kepada guru di Melaka pada Februari ini.