Produk yang dinamakan Double Layered Roof Cooling System Controlled by Arduino yang direka itu mendapat inspirasi daripada surah Al-Furqan, ayat 48-49 di dalam Al-Quran mengenai konsep dan manfaat kejadian hujan untuk menghasilkan inovasi sistem penyejukan bangunan menggunakan elemen tenaga solar dan air.

Pertandingan yang berlangsung pada 18 hingga 21 Oktober 2017 lalu di Barbican Exhibition Centre, London, diwakili oleh tiga pelajar tahun akhir program Fizik Gunaan, Fakulti Sains dan Teknologi USIM iaitu Muhammad Fathi Mohd Said, Muhammad Danish Abd Wahid dan Ainul Husna Mohd Yusoff dan dibimbing oleh pensyarah, Dr. Mohd Azman [email protected]

Inovasi berkenaan merupakan sistem penyejuk menggunakan tenaga solar yang berfungsi menyejukkan sesebuah bangunan kepada suhu yang selesa. Agen utama penyejuk ialah menggunakan air yang dikitar di dalam system tertutup.

Haba panas yang terkumpul di bahagian bumbung akan dipamkan ke kolam penyejuk dan kemudiannya digantikan pula dengan air yang telah sejuk di bumbung semula.

Proses kitaran itu dikawal oleh satu sistem yang boleh dilaras pada suhu tertentu untuk dicapai bagi memastikan ruang dalam sesuatu bangunan adalah selesa.

Sistem penyejuk yang mesra alam itu mampu beroperasi secara automatik serta menjimatkan penggunaan tenaga elektrik sehingga 40 peratus dengan penggunaan tenaga solar kerana sistem ini berkeupayaan meliputi keseluruhan bangunan berbanding ciri-ciri penghawa dingin sedia ada yang hanya dapat menyejukkan kawasan di mana ia dipasang.

Selain itu, penggunaan tenaga solar yang menyalurkan tenaga elektrik adalah digunakan sepenuhnya untuk mengawal aliran air yang dipam dari sistem kawalan.

Ahli kumpulan, Muhammad Fathi Mohd Said berkata, keunikan produk itu adalah ia menggunakan teknologi Arduino sebagai pengawal sistem yang belum digunakan secara meluas dalam sektor industri di negara ini.

“Produk ini juga adalah mudah alih kerana ia boleh dipasang mengikut keluasan bangunan selain mudah untuk dipindahkan ke satu-satu tempat. Ia beroperasi melalui dua kaedah iaitu automatik dan manual. Sistem akan berfungsi secara automatik apabila pengesan suhu mengesan suhu sekitar 34 darjah celcius ke atas dengan mengeluarkan air di sekeliling rumah dan operasi akan berhenti apabila mencapai suhu 28 darjah celcius.

“Hal ini, merujuk kepada kajian yang telah dijalankan bahawa suhu 34 darjah celcius adalah tidak selesa manakala suhu selesa adalah pada 28 darjah celcius. Suhu semasa suatu bangunan dapat diketahui dengan merujuk kepada paparan skrin LCD,” jelasnya.

Fathi menambah, kaedah manual adalah kawalan melalui aplikasi telefon pintar dengan cara memberi arahan melalui suara atau suis dari jarak jauh yang menggunakan Bluetooth sebagai penghubung. Selain itu, pengguna boleh menghantar mesej melalui sistem pesanan ringkas untuk mengaktifkan system ini dari mana-mana tempat.

Melalui kaedah manual berkenaan, maklumat suhu semasa bangunan akan dihantar kepada pengguna dan mereka boleh mendapatkan suhu yang lebih rendah daripada 28 darjah Celcius untuk bangunan itu.

Suhu semasa suatu bangunan akan diberitahu melalui aplikasi telefon pintar dan juga mesej yang akan diterima. Produk yang menekankan aspek mesra alam ini mengambil masa lebih kurang setahun untuk siap direka yang memberi manfaat kepada sesebuah bangunan dan penghuninya, justeru ia sesuai dipasang di unit kediaman, kilang dan kandang ternakan haiwan.

Pencapaian di International Innovation of The Year (Diamond) bagi produk inovasi yang dihasilkan oleh mahasiswa USIM ini merupakan pencapaian terbaik di BIS sejak universiti menghantar pelajarnya sebagai peserta pada BIS 2013. Inovasi berkenaan sekali gus menterjemahkan satu pengetahuan bahawa elemen sains dan teknologi tidak terpisah daripada Al-Quran. - UTUSAN ONLINE