Guru SK Bandar Baru Bangi, Mohd. Riduan Ali berkata, modul itu yang dilaksanakan dalam skala penonton yang ramai ketika perhimpunan mingguan dapat me­ningkatkan keyakinan murid untuk membuat pembentang­an dan berkomunikasi dengan ber­kesan.

“Buktinya, murid kami yang di­bimbing secara intensif menerusi pelaksanaan modul berke­naan ber­jaya dalam pertandingan sains di Bangkok, Thailand, baru-baru ini walaupun ada antara mereka yang tidak meminati sains.

“Minat itu timbul selepas me­reka melaksanakan modul ber­ke­naan dan yang lebih mem­bang­ga­­kan mereka membuat pem­bentangan dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Kursus Pembangunan Profesionalisme Guru M10MP, Guru-guru Wilayah Per­sekutuan Kuala Lumpur dan Selangor di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kursus selama dua hari itu di­ser­tai oleh guru-guru yang memohon melalui laman rasmi Sistem Pengurusan Latihan, Kementerian Pendidikan Malaysia, https://splkpm.moe.gov.my/mn_pengumuman/.

Siri kedua kursus akan diadakan pada September ini.

Dalam kursus itu, pelbagai aktiviti Modul 10 Minit Perhimpunan dilaksanakan secara amali agar guru-guru dapat memahami dan mengaplikasikannya di seko­lah masing-masing.

Menurut Raduan, guru hanya membimbing manakala kumpulan murid yang bertanggungjawab melaksanakannya sebagai aktiviti berpusatkan murid dan pembelajaran berasaskan projek.

“Aspek komunikasi, kepemim­pinan, atribut diri dan dwibahasa adalah antara yang dapat dilihat dan diukur melalui aktiviti yang dibuat oleh murid pada saban minggu.

“Malah, bilangan murid yang berbakat ini juga semakin me­ning­­kat kerana murid berlainan mengetuai aktiviti modul tersebut pada setiap minggu,” jelas­nya.

M10MP ini diterbitkan setiap ming­gu dalam ruangan mySekolah sebagai panduan untuk guru dan murid mencetus aktiviti berimpak tinggi mengikut kesesuaian tahap dan bilangan murid.