Presidennya, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Lim Kok Wing berkata, daripada jumlah tersebut, 500 biasiswa diperuntukkan kepada golongan bumiputera dan selebihnya untuk pelajar bukan bumiputera.

“Selain cemerlang dalam akademik, syarat lain yang perlu dipenuhi untuk memperoleh biasiswa itu ialah pendapatan ibu bapa perlulah di bawah RM3,000 dan tidak menerima biasiswa daripada agensi atau jabatan lain.

“Universiti akan memberi tumpuan kepada pelajar bumiputera yang mendapat 8A dan 7A+ yang belum mendapat biasiswa,” katanya.

Menurut Kok Wing, pelajar bumiputera Sabah dan Sarawak juga tidak akan dipinggirkan dalam pemberian biasiswa tersebut dan tiada sesi temuduga dilakukan bagi memperoleh biasiswa berkenaan.

“Kami memberi kelonggaran kepada pelajar di Sabah dan Sarawak untuk menerima biasiswa setelah mengambil kira kekurangan kemudahan pendidikan di negeri tersebut,” jelasnya.

Kok Wing menambah, langkah itu diambil bagi menggalakkan ramai pelajar bumiputera menyambung pengajian di universiti kreatif tersebut.

Menurut beliau, kemasukan lebih ramai pelajar bumiputera secara tidak langsung dapat meningkatkan bilangan tenaga mahir kepada lima juta orang dalam industri kreatif negara menje­lang 2050.

“Limkokwing menawarkan 200 kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk pelajar bumiputera yang layak, antaranya dalam kursus seni persembahan, muzik, reka bentuk, penyiaran, komunikasi dan multimedia,” katanya.

Sementara itu, Kik Wing berkata, pemberian biasiswa tersebut merupakan pembuka perjalanan kerjaya kepada golongan bumiputera yang kreatif dalam pelbagai bidang pendidikan.

“Ini merupakan peluang yang perlu direbut oleh pelajar bumiputera dalam mengetengahkan bakat akademik dan kreatif masing-masing ke peringkat antarabangsa.

“Mereka bukan sahaja dapat belajar dalam persekitaran antarabangsa, malah berinteraksi dan bersaing dengan pelajar yang rata-ratanya terdiri daripada pelbagai negara,” katanya.