Leong Voon Hui, A. Yugeetha, Syasya Maryam Elias, G. Mavindra dan Muhammad Syazan Januri amat teruja apabila mengetahui pertan­dingan itu dianjurkan oleh Utusan Malaysia dan mereka kini giat melengkap­kan persiapan sebelum penyer­taan dibuka pada Januari depan.

Bagi Muhammad Syazan dan Mavindra, mereka sudah merangka beberapa idea dan konsep perpaduan bersama-sama rakan baik, Jason Loo dan membahagikan tugas masing-masing demi menjayakan matlamat pertandingan.

“Kami memang gemar membuat aktiviti bersama-sama, lebih-lebih lagi jika berkaitan dengan konsep perpaduan atau muhibah. Pada saya, perpaduan kaum perlu dipromosikan agar dapat menyemarakkan lagi ikatan dan semangat 1Malaysia.

“Bila guru, Abdul Pabil Adam bertanyakan pendapat kami untuk sertai pertandingan ini, kami sudah sebulat suara berminat untuk menyertainya. Menang kalah bukan keutamaan,” kata Muhammad Syazan ketika ditemui Utusan Malaysia di sekolahnya dekat sini, hari ini.

Penganjuran #muhibah-Pertan­ding­an Video Pen­­dek Utusan Malaysia/Utusan Online terbuka kepada pelajar sekolah menengah di seluruh negara bertujuan mening­katkan penggunaan bahasa Malaysia dalam kalangan pelajar selain memupuk semangat perpaduan dan muhibah masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Penganjuran juga mendapat sokongan daripada Kementerian Pendidikan serta syarikat swasta, Orando Hol­dings Sdn. Bhd. selaku penaja utama.

Ia akan berlangsung selama setahun bermula Januari depan dan pelajar perlu menghasilkan video bertemakan muhibah tidak lebih daripada dua minit serta menyediakan penerangan menggunakan 50-100 patah perkataan.

Setiap bulan, empat kategori pe­menang akan dipilih daripada empat kaum terbesar di Malaysia iaitu Melayu, Cina India serta Sabah dan Sarawak dengan setiap pemenang akan menerima wang tunai RM1,000.

Maklumat mengenai pertandingan itu disiarkan menerusi Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia serta Utusan Online dan penyertaan boleh dihantar menerusi www.muhibah.my bermula tahun depan.