Begitu yang digambarkan graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi (Alam Sekitar) dari Universiti Malaysia Terengganu, S. Mageswary, 25, Nur Shafinas Kushairi, 25, (Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi Universiti Malaya (UM), Teh Yu Li, 25, (Ijazah Sarjana Muda Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua, UM), Kelly Kastury Wong, 25, (Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa, Universiti Malaysia Perlis) dan Nurul Husna Yusof, 25, (Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, UM).

Mageswary berkata, banyak perkara yang dia pelajari mengenai bagaimana rakyat negara tersebut menjaga dan ‘menghormati’ alam sekitar termasuk mewajibkan pengasingan sampah di rumah.

“Sesuatu yang saya kagumi juga ialah mereka tidak membuang sampah semasa di luar sebaliknya menyimpan di dalam poket atau beg sehingga sampai di rumah. Oleh sebab itu, apabila kita berada di Jepun, tidak menemukan tong sampah di tepi jalan.

“Saya berpeluang ke tempat lain seperti Hokaido dan Kana­zawa yang sungguh indah. Di situ, saya dapat lihat bagaimana rakyat Jepun memelihara alam sekitar yang patut kita contohi sehingga langsung tidak mendengar banjir kilat walaupun mereka selalu dilanda taufan,” katanya.

Kesemua mereka ditemui ketika menyertai Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berada di pusat bandar itu untuk menyaksikan majlis menandatangani kerjasama antara Enertech Supplies Services Sdn. Bhd. dan Halal Japan Corporation (HJC), baru-baru ini.

Bagi Nur Shafinas, dia merasa bertuah kerana berpeluang belajar budaya rakyat Jepun yang terkenal dengan kuat bekerja, menjaga kebersihan, menepati masa dan berdisiplin tinggi.

“Pengalaman yang saya tempuh di sini berbeza dengan apa dipelajari semasa di universiti. Di sini saya banyak mempelajari isu wanita sejagat seperti perbezaan gaji antara lelaki dan wanita,” katanya.

Yu Li pula memberitahu, dia tertarik dengan sikap orang Jepun yang sering kali memikirkan orang lain sebelum melakukan sesuatu tindakan.

“Sebagai contohnya, mereka tidak akan memotong barisan untuk kepentingan diri ketika beratur selain membuka laluan untuk orang lain berjalan ketika waktu sesak,” katanya.

Dalam pada itu, kelima-lima mereka itu merupakan kumpulan kedua dihantar ke Universiti Antarabangsa Josai, hasil kerjasama selama lima tahun oleh YTF dan universiti tersebut bermula de­ngan siri pertama pada 2015/2016.