Pengetua SMK Seri Bintang Utara, sapura Amat berkata, program lawatan itu mendedahkan pelajar dengan cara hidup masyarakat yang pelbagai budaya, bahasa dan agama.

“Program ini memperluas pandangan pelajar ke tahap global mengenai pelbagai isu seperti kemasyarakatan, persekitaran dan keamanan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis meraikan delegasi tersebut di sekolahnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam program itu, kedua-dua pihak memeterai memorandum persefahaman (MoU) jalinan kerjasama hubungan antarabangsa yang ditandatangani oleh Sapura dan Atase Pendidikan dan Kebudayaan Kedutaan Besar Republik Indonesia, Profesor Dr Ari Purbayanto.

Antara pengisian program termasuklah lawatan penanda aras ke bilik kaunseling, pendedahan mengenai kepentingan bahasa Inggeris dan persembahan ang­klung serta tarian masyarakat Aceh oleh Sekolah Indonesia Kuala Lumpur.

Sementara itu, Guru Bimbing­an dan Kaunseling SMK Seri Bintang Utara, Norharyati Pawanteh berpendapat, lawatan berkenaan merupakan satu inisiatif yang memberi impak positif bagi membolehkan pelajar kedua-dua negara mengenali persamaan atau perbezaan budaya dengan lebih dekat.

“Tambahan pula, program pertukaran budaya merupakan trend terkini dalam proses pembelajaran pada zaman moden ini yang boleh menambahkan ilmu penge­tahuan dan pengalaman pelajar,” tambahnya.