Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Mohd. Rafiq Naizamohideen, sebagai individu yang pernah menjadi salah seorang penuntut di UiTM, turut berbangga dengan PAUiTM yang giat menjalankan pelbagai usaha mendekatkan diri dengan bekas-bekas pelajarnya.

Menurut beliau, semua bekas penuntut UiTM perlu memberi sokongan terhadap aktiviti persatuan itu agar PAUiTM dapat bergerak maju seterusnya memperkenalkan institusi pendidikan tersebut yang melahirkan ramai bekas pelajar yang berjaya dalam pelbagai bidang.

“Sebagai alumni UiTM, saya menyambut baik langkah ke hadapan yang diambil oleh PAUiTM untuk bertemu de­ngan sebahagian daripada bekas pelajarnya dan berjanji akan membantu persatuan tersebut mengikut kemampuan saya,” katanya.

Mohd. Rafiq yang merupakan alumni UiTM pada 2004 lulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan delegasi PAUiTM yang diketuai Presidennya, Datuk Zaini Hassan bersama tujuh ahli persatuan itu di pejabatnya di Seri Negeri di sini.

Dalam pertemuan selama hampir sejam itu, Zaini dan semua ahli berkongsi pengalaman dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu mengenai hala tuju persatuan tersebut yang dinaungi oleh lebih 650,000 alumni universiti itu.

Mohd. Rafiq turut gembira dengan kunjungan itu dan berharap pelbagai kegiatan dapat dijalankan oleh PAUiTM bagi memberi pulangan semula kepada universiti, terutamanya alumni dan masyarakat.

Sementara itu, Zaini berkata, pihaknya dalam usaha me­ngadakan pertemuan dengan seberapa ramai lepasan UiTM untuk memperkukuhkan hu­bu­ngan silaturrahim selain berkongsi pengalaman masing-masing sewaktu menuntut di universiti tersebut suatu ketika dahulu.

“PAUiTM akan terus bergerak mengadakan pertemuan de­ngan para alumni universiti ini dan baru-baru ini kita telah menemui Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Menteri Kerja Raya, Baru Bian dan timbalannya, Mohd. Anuar Mohd. Tahir,” katanya sambil memberitahu selepas ini pihaknya akan berjumpa Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd. Harun yang juga lepasan UiTM.