Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, untuk merealisasikan generasi yang diimpikan itu, maka Sasaran Pembangunan Mapan (SDG) yang dicadangkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menjelang 2030 yang menetapkan pendidikan untuk semua turut diperke­nalkan di negara ini.

Katanya, walaupun Malaysia masih belum mencapai 100 peratus pendidikan untuk semua terutamanya di kawasan pedalaman, namun itu tidak menghalang kementerian melaksanakan transformasi pendidikan.

Menurutnya, memperkenalkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan bilik darjah abad ke-21 merupakan langkah permulaan bagi melahirkan gene­rasi yang menyumbang pendapat bagi menentukan masa depan negara pada 2050.

“Selain itu, kesedaran tujuan guru mengajar juga penting. Mereka bukan lagi menjalankan tanggungjawab untuk mengha­biskan silibus semata-mata tetapi perlu menanam kesedaran kepada pelajar tentang kepentingan silibus itu untuk masa depan.

“Pelajar kini perlu banyak memberi idea, bertindak pantas serta kreatif dan inovatif. Inilah generasi yang diperlukan oleh kepemimpinan bagi mengarap hala tuju negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan dialog bersama pelajar dan komuniti Malaysia, di sini malam tadi.
Mahdzir berada di kota raya ini bagi menghadiri Forum Pendidikan Dunia (EWF) yang berlangsung selama tiga hari mulai hari ini.

Lebih 100 penuntut dan komuniti Malaysia yang belajar dan tinggal di sekitar London hadir.
Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

Dalam sesi dialog tersebut, Mahdzir menjelaskan tentang dasar, transformasi dan bajet pendidikan serta meminta cadangan pelbagai pihak termasuk penuntut Malaysia di luar negara untuk menambah baik PPPM supaya selaras dengan matlamat dan hala tuju TN50.

Menurut Mahdzir, corak pendidikan perlu berubah mengikut masa, jika dahulu, negara bergantung kepada pertanian, kemudian industri berlandaskan buruh dan teknologi tetapi sekarang dunia ekonomi digital.

Sehubungan itu jelasnya, jika ingin ekonomi Malaysia berpaksikan ekonomi digital, maka sistem pendidikan perlu berubah.

“Jika dulu proses pembelajaran hanya satu hala yang mana guru sahaja yang bercakap, tetapi sekarang penglibatan pelajar le­bih di­utamakan,” katanya. – UTUSAN