Pengarah Urusan Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) dan KYP Advance Skills, Datuk Noorhishamuddin Yaacob berkata, program itu merupakan jaminan kerjaya yang dianjurkan oleh Moca bersama KYP Advance Skills.

“Peserta program ini akan memperoleh sijil Scaffolding Erector tahap satu dan juga akan mendapat lesen sebagai pemasang perancah bertauliah yang diluluskan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

“Bagi program ini, KYP akan menghantar pelajar yang sudah menamatkan pengajian di tahap tiga dan empat bagi bidang yang sama untuk menjalankan latihan bersama Moca,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di KYP Advance Skills di sini hari ini.

MoU berkenaan ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif KYP Advance Skills, Nor Liza Abd. Mubin manakala Moca diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Fauzi Abd. Samad.

Yang hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah KYP Advance Skills, Datuk Dr. Ahmad Munawar Abdul Jalil dan Ketua Pegawai Eksekutif Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), Datuk Dr. Zulkifle Ali.

Pada majlis itu juga turut diadakan pelancarkan pembukaan Coffeeville iaitu sekolah Barista dan kafe untuk pelajar kolej berkenaan mempelbagaikan kursus kemahiran yang ada.

Sementara itu, Noorhishamud­din berkata, Barista adalah program usahasama dengan syarikat Eciatto Sdn. Bhd. bagi memberi nilai tambah kepada penuntut kolej ini.

“Penuntut yang mengikuti program ini akan dilengkapi dengan kemahiran dan sijil barista yang diiktiraf oleh Spesialty Coffee Association (SCA),” katanya.