Bengkel bertujuan mencapai aras kecemerlangan dalam penye­lidikan ini adalah pertama kali diadakan dan disertai 40 pensyarah dari pelbagai kulliyyah.

Peserta diberikan pendedahan dan perkongsian tentang teknik dan cara menghasilkan sebuah penyelidikan yang bermutu selain diberikan motivasi oleh tenaga-tenaga mahir yang dijemput dari ISDEV.

Menurut Ketua UPP-Kuin, Rahayati Ahmad, program itu dirancang untuk diadakan beberapa siri bagi memastikan semua pensyarah yang terlibat mendapat inspirasi dan motivasi baharu dalam menghasilkan penyelidikan yang berkualiti.

“Kami ingin memberi galakan kepada tenaga akademik di Kuin untuk terus menyediakan proposal dan memohon geran penyelidikan yang disediakan oleh pihak Kuin. Penyelidikan berkualiti bukan sahaja penting bagi pencapaian individu ahli akademik, bahkan ia sangat penting kepada universiti dalam meningkatkan kualiti pengajian dan pembelajaran secara keseluruhan,” katanya.

Perasmian bengkel disempurnakan Timbalan Rektor Akademik dan Antarabangsa Kuin, Prof. Dr. Mohamad Abdul Hamid.

Turut hadir berkongsi pengalaman dan inspirasi adalah Prof. Madya Dr. Zakaria Bahari yang merupakan Pengasas dan Pengarah ISDEV.

Di akhir program, satu majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Kuin dan ISDEV USM diadakan sebagai satu perkongsian strategik untuk beberapa aktiviti dan program berkaitan penyelidikan di masa akan datang.