Perubahan era moden ini sekali gus menjadikan penggunaan komputer berkembang pesat merangkumi pelbagai aspek dalam masyarakat dan ia boleh dicapai oleh semua golongan individu meskipun mempunyai kekurangan fizikal.

Sehubungan itu, penggunaan komputer juga perlu ditekankan dan diperluaskan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) agar mereka tidak tersisih dan ketinggalan dalam mengikuti arus perkembangan teknologi yang semakin meluas.

Menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) mengambil inisiatif menyumbangkan bantuan pembelajaran iaitu komputer kepada Rumah Perlindungan OKU Taman Sinar Harapan Cheras dalam usaha membantu meningkatkan penyediaan kelengkapan peralatan untuk kegunaan penghuni di makmal komputer sedia ada.

Dalam masa sama, KPTM turut menjadikan makmal komputer berkenaan sebagai makmal angkat yang diberi nama Celik [email protected] KPTM.

Bagi membantu meningkatkan pengetahuan dan informasi berkenaan penggunaan komputer, KPTM juga akan menyediakan khidmat tenaga pengajar yang terdiri daripada pensyarah kolej berkenaan.

Menurut Pengerusi KPTM, Datuk Ahmad Nazlan Idris, pihaknya berharap dengan adanya pemberian sumbangan itu sedikit sebanyak dapat membantu penghuni di rumah perlindungan tersebut menguasai ilmu teknologi maklumat.

“Dengan adanya aktiviti sebegini, kami berharap dapat membentuk jiwa yang lebih prihatin, membentuk sifat ihsan serta empati dalam diri peserta yang terdiri daripada pelajar KPTM.

“Kita mahu pupuk dalam diri mahasiswa supaya lebih peka kepada golongan yang kurang kelainan sekali gus membina jati diri minda kelas pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan penyerahan sumbangan komputer pada Majlis Perasmian Program CSR Ekpresi Negaraku sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2017.

Program penyerahan komputer itu turut dianjurkan bersama Majlis Amanah Rakyat (Mara) dengan kerjasama beberapa agensi di bawahnya.