Menteri Kemajuan Luar Ban­dar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bertujuan memberi peluang kepada pelajar terlibat melanjutkan pelajaran ke pe­ringkat lebih tinggi sekali gus untuk mengubah taraf kehidupan mereka pada masa hadapan.

“Syarat yang dipakai ketika ini adalah jika pemohon tidak mendapat cukup lima kredit dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), permohonan mereka akan terus ditolak.

“Tetapi untuk tahun hadapan, syarat ini akan dilonggarkan sedikit dengan membenarkan pelajar yang memperoleh empat kredit dari kawasan pedalaman sama ada di Semenanjung, Sabah atau Sarawak untuk mendapat tajaan ber­kenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam sidang akhbar selepas menghadiri majlis Konvoke­syen KPTM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pe­ngarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf dan Pengerusi KPTM, Datuk Ahmad Nazlan Idris.

Dalam majlis itu, seramai 5,585 graduan KPTM menerima diploma, ijazah sarjana muda dan sijil profesional masing-masing.

Seramai 4,528 orang merupakan graduan KPTM manakala bakinya merupakan graduan Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM).

Menurut Ismail Sabri, setakat ini, hanya 40 peratus penuntut kolej di bawah Mara mendapat tajaan dan jumlah itu akan ditingkatkan bagi menampung penambahan jumlah pelajar dari luar bandar dan golongan B40 nanti.

Dalam pada itu, mengulas mengenai peruntukan sebanyak RM2.5 bilion dalam Bajet 2018 untuk biasiswa pengajian tinggi dan latihan di bawah Mara, katanya, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan peruntukan yang ter­tinggi pernah diberikan untuk program tersebut.

Beliau berkata, peruntukan yang besar itu akan memberi peluang lebih luas untuk Mara menaja pelajar cemerlang ke peringkat lebih tinggi sama ada di dalam atau luar negara.