Pengerusi KP1M, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, semua 1,000 pelajar itu diberikan pakaian seragam percuma selain pelbagai lagi kelengkapan persekolahan seperti bantuan alat tulis.

“Program ini adalah bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah membuat persiapan persekolahan anak mereka. Hari ini 1,000 penerima menerima bantuan pakaian seragam dan peralatan sekolah .

“Kita memberi bantuan kepada semua golongan susah, tidak mengira orang Melayu, Cina atau India. Sesiapa yang layak kita akan bantu,” katanya selepas Program Penyampaian Uniform Sekolah Happy2 School di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Datuk Ir. Kamaruzzaman Johari, Ketua MIC Kota Raja, Datuk R.S Maniam dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Raja, Mohamad Kusyhairi Aziz.

Sementara itu Kamaruzzaman berkata, program tersebut membuktikan Barisan Nasional (BN) sentiasa komited membantu rakyat walaupun kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu dikuasai Pakatan Harapan.

“Bantuan yang kita beri bukanlah bantuan bermusim, walaupun kita adalah pembangkang di Selangor kita tetap berusaha membantu rakyat mengurangkan bebanan kewangan menjelang sesi persekolahan 2018,” katanya. - UTUSAN ONLINE