Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, program tersebut yang akan diadakan secara berperingkat-peringkat melibatkan kesemua 2,388 buah koperasi sekolah, akan dimulakan terlebih dahulu di negeri Selangor.

“Ini merupakan sebahagian daripada sumbangan kita kepada negara untuk bersama-sama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meningkatkan kesedaran dan pencegahan terhadap rasuah serta salah guna kuasa.

“Angkasa yang menjadi badan induk kepada 13,600 buah koperasi, memandang berat soal integriti kerana sebagai organisasi yang mempunyai kepentingan awam, kita menguruskan sebanyak RM1.4 bilion transaksi sebulan melibatkan dua juta orang dalam urusan pembayaran balik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis lafaz IBR peringkat Angkasa Perak di sini hari ini yang diketuai oleh Pengerusi Perhubungannya, Mohd. Rosli Basri.

Hadir sama Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Perak, Ahmad Shukri Mohamad Taib dan Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Akhbar Satar yang juga menyampaikan forum integriti pada majlis tersebut.

Angkasa telah melafazkan IBR di peringkat Pusat bermula tahun lalu.

Angkasa Perak menjadi cawangan kedua yang menganjurkannya di peringkat negeri selepas Angkasa Sarawak dan ia bakal diperluas kepada 14 cawangan lain selepas ini. - UTUSAN ONLINE