Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, program tahunan yang akan diadakan di enam lokasi utama itu turut mempamerkan kejayaan bidang pendidikan dan keberhasilan pelajar, selain memfokuskan penerangan berkaitan isu semasa dan perkongsian maklumat.

Beliau berkata, enam lokasi tersebut ialah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Hulu Langat, Se­langor pada 10 hingga 11 Februari, Langkawi, Kedah (22 hingga 24 Februari), Pasir Puteh, Kelantan (8 hingga 10 Mac); Parit Buntar, Perak (30 Mac hingga 1 April); Temerloh, Pahang (13 hingga 15 April) dan Tawau, Sabah (20 hingga 22 April).

“Program Jelajah Pendidikan fasa pertama dimulakan dengan aktiviti gotong-royong di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari, Beranang, Selangor hari ini yang melibatkan penyertaan pihak pengurusan tertinggi kementerian sebagai usaha merapatkan hubungan kementerian dengan ibu bapa serta komuniti setempat.

“Tahun ini kita menggunakan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan dan swasta. Saya berharap program ini memberi manfaat yang berguna kepada orang ramai,” katanya selepas melepaskan Konvoi Jelajah Pendidikan 2018 di sini hari ini.

Menurut Alias, program Jelajah Pendidikan sebenarnya telah dilaksanakan sejak 2005 dengan dikenali sebagai Hari Bertemu Pelanggan dan kini diberi nafas baharu agar bersesuaian dengan kehendak semasa dan menepati cita rasa masyarakat.

"Program ini bukan sahaja menawarkan perkhidmatan sedia ada dalam kementerian, tetapi turut menerangkan secara terperinci dasar pendidikan dan transformasi gelombang baharu pendidikan.

"Kadang-kadang terdapat segelintir masyarakat mendapat maklumat tidak tepat yang dihebohkan pihak tertentu mengenai sektor pendidikan negara, jadi melalui program ini kita akan memberikan penerangan dengan lebih jelas dan tepat kepada mereka," katanya.

Dalam pada itu katanya, untuk fasa pertama program itu turut menganjurkan program penerangan dasar-dasar kementerian di SMK Sungai Long, Kajang pada Sabtu ini bersama warga pendidik di Selangor dengan fokus berkaitan isu semasa.

"Lebih 200 pegawai di kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan PPD terlibat dengan program ini yang turut diserikan dengan persembahan rentak budaya, multimedia, tarian tradisional dan demonstrasi gimnastik oleh atlet negara," katanya.