Titah baginda, memberi fokus semasa guru mengajar amat penting kerana setiap yang diperkatakan merupakan ilmu dan informasi yang diperlukan bagi menghadapi peperiksaan bahkan di dalam kehidupan seharian.


Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin ketika berkenan berangkat merasmikan program ‘Titian Kasih Mega Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Mata Ayer, Tahun 2019’ yang diadakan di Dewan sekolah berkenaan di Mata Ayer, Padang Besar semalam.


Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.


Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah, Norlaila Harun serta Ketua Penyelaras Program, Kapten Azuan Mohd Nasir dan Hakim Khan.


Turut hadir ialah Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang turut menyampaikan tazkirah serta seramai 195 orang pelajar tingkatan satu hingga tiga sekolah itu.


Program masuk tahun yang ke 10 ini adalah anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri.

Baginda yang juga merangkap Pengerusi YTSP Perlis turut menambah, hasil kajian yang dijalankan mendapati 50 peratus kejayaan pelajar adalah dengan memberikan tumpuan semasa guru mengajar.

Namun, titah baginda, kejayaan dan kecemerlangan seseorang pelajar tidak hanya diukur melalui kejayaan akademik semata-mata, bahkan perlu memiliki nilai-nilai positif dalam diri masing-masing.

Turut diadakan bersempena keberangkatan baginda berdua ke sekolah tersebut ialah acara penanaman pokok bucida, demonstrasi robotik, perasmian pusat sumber yang dikenali sebagai ‘ Iqra’ ‘ serta titah motivasi kepada para calon SPM tahun 2019 sekolah berkenaan.

Baginda turut berkenan menerima mengadap delegasi seramai 65 orang pelajar dari enam buah sekolah dari serata Thailand yang menyertai program ‘Thailand-Malaysia ASEAN School Bonding Program’ yang berada di Perlis pada ketika ini dalam rangka lawatan sambil belajar dan turut melawat sekolah berusia tujuh tahun berkenaan. - UTUSAN ONLINE