Ketua Pegawai Eksekutif Kolej YPC, Datuk Dr. Noel Robert berkata, bagi tujuan itu, sebanyak 100 biasiswa disediakan sepanjang tahun ini kepada pelajar yang mendaftar mengikuti program asasi di Kolej YPC.

Menurutnya, komitmen itu seiring dengan hasrat Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras (YPC), Datuk Seri Syed Ali AlHabshee yang mahu pelajar melengkapkan pengetahuan dan kemahiran yang terkini dalam perniagaan dan teknologi maklumat.

“Sejak beberapa tahun ini, Ko­lej YPC telah membuktikan komitmennya dalam kecemerlangan pendidikan melalui program-program yang berstruktur tinggi dalam Perniagaan, Perakaunan dan Kewangan, Teknologi Maklumat, E-Perniagaan, Pengkomputeran Multimedia dan Multimedia Kreatif,’’ katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Program asasi yang ditawarkan membolehkan pelajar dengan lima kredit dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau lebih untuk mendaftar dalam program satu tahun dan meneruskan pengajian dengan ijazah Liverpool John Moores University selama tiga tahun sama ada di Kolej YPC (Malaysia) atau di Liver­pool (United Kingdom (UK)).

Penawaran biasiswa untuk pro­gram asasi ini memberi peluang yang sangat berharga kepada pelajar untuk mendapatkan ijazah dalam masa yang singkat iaitu empat tahun sahaja iaitu 1 tahun asasi dan tahun 3 ijazah selepas tamat SPM.

Pelajar daripada keluarga berpendapatan sederhana dan tinggi mempunyai pilihan tambahan sama ada untuk meneruskan pengajian mereka di Liverpool John Moores University di UK dari tahun 1 atau dari tahun 2 atau pun pada tahun akhir ijazah mereka.

“YPC percaya bahawa kekurangan kewangan tidak seharusnya menjadi halangan kepada peluang pendidikan tinggi memandangkan program asasi selama setahun ini boleh menjimatkan masa dan wang pelajar.

“Apabila mereka memulakan pengajian ijazah, pelajar boleh mendapatkan pinjaman dari PTPTN. Oleh itu, kewangan yang diperlukan untuk tahap pendidikan tinggi mereka tidak menjadi satu isu,” katanya.

Menurut Noel, lebih 1000 pelajar telah mengikuti program asasi di Kolej YPC dan meneruskan pengajian masing-masing untuk mendapatkan ijazah UK yang mempunyai reputasi baik.

Malah, katanya, setiap pelajar dalam satu keluarga yang mendaftar masuk ke dalam program asasi ini akan dapat menghasilkan penjimatan sebanyak RM50,000 hingga RM100,000 berbanding pelajar yang melanjutkan pengajian ijazah di Australia, New Zealand atau Amerika Syarikat.

Kolej YPC menawarkan dua program asasi, iaitu, Program Asasi dalam Perniagaan (Foundation in Business) bagi ijazah aliran perniagaan dan perakaunan; dan Program Asasi Perniagaan dan Teknologi Maklumat (Foundation in Business and Information Technology) untuk program ijazah aliran teknologi maklumat.