Majlis pelancaran pertandingan itu yang dihadiri oleh lebih 600 pelajar telah disempurnakan oleh Presiden Kolej Uniti, Datuk Jamal Mohd. Amin di kampus kolej itu dekat Pasir Panjang, Port Dickson di sini.

Yang turut hadir, Naib Presiden Kanan dan Ketua Jabatan Perbankan Pengguna, Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat), Mohd. Razif Mohd. Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Uniti, Dr. Syed Omar Syed Agil.

Pertandingan itu ditaja oleh Bank Muamalat dengan kerjasama Yayasan Uniti dan Kolej Uniti.

Menurut Jamal, pertandingan itu diharap dapat membantu para pelajar Kolej Uniti menghasilkan produk dan perkhidmatan yang mempunyai potensi untuk dipasarkan bagi menjana pendapatan dan membina kerjaya mereka selepas tamat pengajian kelak.

“Hasrat kami di kolej ini ialah supaya pelajar yang tamat pengajian mampu berdikari dan tidak hanya bergantung kepada pencarian kerja semata-mata.

“Pertandingan ini adalah sebahagian daripada beberapa siri program sampingan yang kami laksanakan untuk pelajar dan tidak terlalu tertumpu kepada pencapaian akademik,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran pertandingan berkenaan.

Pertandingan itu yang diadakan selama dua bulan menawarkan hadiah wang tunai RM5,000 untuk tiga pemenang utama dan memperoleh pejabat maya Uniti Office Sdn. Bhd. secara percuma. - UTUSAN ONLINE