Hasimi Sawari dan Nur Aini Muhyakin, masing-masing berusia 21 tahun, diumumkan sebagai pelajar terbaik Diploma Perakaunan dan Pengurusan Perniagaan pada majlis itu yang turut menyaksikan 79 pelajar lain berjaya menamatkan pengajian mereka dalam bidang masing-masing.

Menurut Hasimi, kehidupan serba kekurangan ekoran bapa yang bekerja sebagai buruh binaan menjadi penguat semangat kepadanya untuk melakukan yang terbaik dalam peperiksaan.

“Saya ada tujuh adik beradik, sudah tentu pendapatan bapa tidak mampu menampung semua keperluan kami memandangkan ibu tidak bekerja kerana mengurus keluarga.

“Oleh itu, saya bertekad mencuba sehabis baik sepanjang belajar di kolej dan berusaha mencapai kredit terbaik peperiksaan kerana saya mahu menyediakan kehidupan lebih baik untuk keluarga pada masa depan,” katanya yang kini bekerja sementara sebagai pegawai perakaunan di sebuah syarikat swasta dan bercadang menyambung semula pengajian peringkat ijazah dalam bidang yang sama di YPC.

Sementara itu, Nur Aini pula memberitahu, latar belakang keluarganya sebagai anak buruh tidak pernah menghalang dia untuk memasang impian memiliki sebuah empayar perniagaan sendiri apabila tamat pengajian nanti.

“Saya mahu sambung belajar ke peringkat lebih tinggi dan menuntut ilmu perniagaan sedalam-dalamnya sebelum saya memiliki perniagaan sendiri nanti. Ini kerana saya mahu kehidupan lebih baik untuk keluarga,” katanya.

Selain Hasimi dan Nur Aini, dua lagi pelajar terbaik YPC iaitu Ros Zafirah Johari Ahmad Zukni dan Chung Wai Hong dinobatkan sebagai pelajar terbaik dalam bidang diploma Kreatif dan Multimedia serta Perniagaan Teknologi Maklumat.

Pada majlis tersebut, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyampaikan diploma yang turut dihadiri Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras (YPC), Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej YPC, Datuk Dr. Noel Robert. – DHIYA’ZULHILMI DAUD