Ketua Eksekutif Mediu, Profesor Emeritus Dr. Ismawi Zen berkata, kerjasama tersebut akan memberi satu impak amat besar dan bermanfaat kepada universitinya.

“Ia juga memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk melebarkan sayap masing-masing dalam bidang pendidikan tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, ICYM diwakili oleh Ketua Eksekutifnya, Datuk Saroni Judi.

Ismawi menambah, pihaknya amat mengalu-alukan kerjasama tersebut dan berharap usahasama strategik sedemikian mampu membawa kepada pembentukan program berimpak tinggi pada masa depan.

“Secara amnya, saya amat berharap agar Mediu dan ICYM dapat menjalankan kerjasama yang boleh membawa kepada transformasi dalam pembangunan kedua-dua institusi.

“Kini tiba masa untuk institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara bekerjasama lebih erat demi memastikan hasrat kerajaan ke arah menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan bertaraf dunia dapat direalisasikan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE