Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, terdapat 1,298 SJKC di seluruh negara termasuk 884 SJKC Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) menerima manfaat daripada bantuan kewangan berkenaan.

“Di Johor, dari 2009 hingga 2016, jumlahkeseluruhan bantuan yang diterima SJKC SBK adalah sebanyak RM69.1 juta di mana peruntukan ini memfokuskan kepada penyelenggaraan infrastruktur sekolah.

“Kerajaan memberi keutamaan kepada bangunan sekolah yang perlu dibaik pulih terutamanya membabitkan penyelenggaraan dalam memastikan keselesaan kepada penghuni sekolah-sekolah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Cek Peruntukan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi SJKC SBK negeri Johor di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan II, Senator Datuk Chong Sin Woon dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri Datuk Tee Siew Kiong.

Pada majlis itu, sebanyak 122 SJKC SBK mendapat bantuan kewangan berjumlah RM7.17 juta, manakala 89 SJKC sekolah kerajaan menerima peruntukan tambahan berjumlah RM2 juta bagi 2016.

Wee berkata peruntukan terbabit merupakan bukti kukuh keprihatinan kerajaan dalam membantu masyarakat Cina.

“Sejak Pakej Rangsangan Ekonomi Negara diperkenalkan, masalah penambahbaikan berjaya diselesaikan dan keadaan sekolah-sekolah yang mendapat bantuan banyak berubah ke arah lebih baik,” katanya.

Sebagai contoh, SJKC Chung Hua Asahan di Tangkak yang diisytiharkan tidak selamat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 2009, menerima bantuan RM400,000 menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Negara bagi mengatasi masalah yang ada.

“Tahun lepas, sekolah berkenaan memaklumkan bahawa mereka kini sudah tidak lagi memerlukan bantuan kerajaan kerana tidak mempunyai sebarang masalah infrastruktur. Ini merupakan sekolah yang boleh dijadikan contoh oleh sekolah lain.

“Sehingga kini, ada enam sekolah di seluruh negara yang boleh berdikari dan tidak lagi memerlukan bantuan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Chong meminta setiap Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan pihak sekolah yang mahu menggunakan peruntukan itu supaya menghantar laporan kepada Kementerian Pendidikan dalam tempoh tiga bulan.

Laporan berkenaan penting kerana ia bagi menilai jumlah sewajarnya yang diperlukan setiap sekolah, sekali gus memberi penambahbaikan kepada keperluan sedia ada di sekolah berkenaan.

“Kerajaan akan menyalurkan bantuan berjumlah RM50 juta pada hujung tahun ini, jadi, laporan ini penting untuk pihak kementerian membuat penilaian ke mana peruntukan ini boleh diberikan,” jelasnya.- BERNAMA