Melalui tajaan tersebut, ca­lon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapat manfaat daripada tajaan sisipan itu untuk dijadikan sebagai bahan soko­ngan untuk latihan dan latih tubi.

Pegawai Penyelidikan Ya­ya­san Perak, Emiruddin Mohamed Zawadi berkata, setiap sekolah yang terpilih akan menerima 100 naskhah Tutor SPM selama 42 minggu bermula dari bulan Januari sehingga Oktober tahun ini.

Katanya, tajaan itu merupakan usaha sama antara kerajaan negeri bersama Pejabat Pendidikan negeri di mana Yayasan Perak bertindak sebagai urusetia.

“Kesemua naskhah sisipan ini akan diberikan kepada calon SPM dan diharap ia dapat membantu mereka dalam menghadapi peperiksaan itu nanti,” katanya ketika ditemui selepas taklimat Tutor SPM kepada guru-guru dan pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah Kinta Utara di sini hari ini.

Taklimat dan bengkel yang diadakan hari ini adalah siri ke tujuh daripada 10 buah daerah termasuk Manjung, Perak Tengah, Kuala Kangsar, Hulu Perak, Kerian, Kinta Selatan, Batang Padang dan Hilir Perak.

Program mengenai penggunaan Tutor SPM itu melibatkan penyertaan guru-guru subjek te­ras setiap sekolah terpilih.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahasa Melayu, Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan negeri, Azemi Md. Zuki berkata, penggunaan Tutor SPM memberikan kesan positif apabila buat pertama kali untuk tempoh 10 tahun, Perak berjaya meraih Indeks Gred Purata Negeri (GPN) sebanyak 4.98 mata iaitu di bawah 5.0.

Katanya, GPN bagi SPM 2017 itu menunjukkan peningkatan yang amat ketara dan ia memperlihatkan sisipan tersebut digunakan sebaiknya oleh pelajar dan guru-guru terlibat dalam sesi pembelajaran dan pengajaran (PdP).

“Terdapat banyak program yang dilaksanakan untuk me­ningkatkan pencapaian pelajar SPM dan salah satunya adalah Tutor SPM dan ia dilihat memberi impak yang sangat besar kepada pelajar.

“Isi kandungannya juga menepati kehendak soalan SPM yang mana ia berada dalam topik peperiksaan dan kurikulum. Apa yang ada dalam sukatan pelajaran itu jugalah yang terdapat dalam tutor,” katanya.

Menurutnya, susun atur gra­fik yang menarik dalam akhbar sisipan itu juga memudahkan pelajar memahami sesuatu ma­ta pelajaran selain membantu guru mengajar di dalam kelas.

“Diharap tajaan ini dapat di­teruskan pada masa akan datang dan pelajar dapat memanfaatkan sepenuhnya untuk membantu mereka dalam menghadapi SPM tidak lama lagi,” katanya.