Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim berkata, daripada keputusan itu, mereka yang mendapat pangkat Mumtaz (Cemerlang) meningkat dua peratus iaitu 16.4 peratus (6,424 calon) berbanding 14.4 peratus (5,496 calon) pada tahun lalu.

Menurutnya, bagi calon yang mendapat pangkat Jayyid Jiddan (Sangat Baik), meningkat 3.3 peratus iaitu 35.8 peratus (13,999 calon) berbanding 32.5 peratus (12,420 calon), sebelumnya.

“Bagi calon yang mendapat pangkat Jayyid (Baik) menurun 0.9 peratus iaitu 24.1 peratus (9,419 calon) berbanding 25 peratus (9,547 calon) pada tahun lalu.

“Calon yang mendapat pangkat Maqbul (Lulus) pula menurun 2.5 peratus iaitu 16.5 peratus (6,462) calon) berbanding 19 peratus (7,257 calon), tahun lalu manakala bilangan calon mendapat Musaadah (Perlu bimbingan) menurun 2.08 peratus (2,775 calon) iaitu 7.1 peratus berbanding 9.18 peratus (3,509 calon), tahun sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada tahun ini, jumlah calon PSRA yang berdaftar adalah 39,759 orang dan sebanyak 39,086 hadir menduduki peperiksaan di 519 pusat melibatkan 744 sekolah.

Anugerah Murid Cemerlang PSRA peringkat negeri jatuh kepada Ashraf Ali Misbah dari Sekolah Rendah Agama Islam Intergrasi (SRAI) Al-Farabi, Kampung Delek, Klang dan Nurliyana Farhanah Mohd. Zaki, Sekolah Rendah Agama (SRA) Kinrara Seksyen 5, Petaling.

Bagi Anugerah Sekolah-sekolah Cemerlang PSRA peringkat Selangor pula ialah SRA Bandar Kinrara Seksyen 5, SRA Ibnu Rusyd, SRA Parti 11 Timur, SRAI Sungai Manggis, Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Al-Aziziah AU1 serta SRAI Irsyadiah Gombak.

Sementara itu, Klang menerima Anugerah Daerah Terbaik PSRA peringkat negeri. - UTUSAN ONLINE