Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, laporan dapatan PPDUEC akan dibentangkan kepada jemaah Menteri Julai ini untuk dibuat keputusan sama ada sijil itu akan diiktiraf dalam sistem pendidikan negara atau tidak.

“PPDUEC ditubuhkan untuk mengumpul maklumat dan mengemukakan syor kepada kementerian berhubung isu pengiktirafan UEC. Kita perlu lihat isu ini melangkaui isu kaum dan pendidikan tetapi lebih daripada itu.

“Hasil dapatan daripada maklum balas mengenai pengiktirafan UEC akan dirumuskan dan syor-syor akan dirangka dan diangkat kepada saya untuk dipertimbangkan dan dikemukakan kepada jemaah menteri.

“Garis masa pasukan ini mengkaji isu pengiktirafan UEC adalah dari bulan Oktober lalu hingga Julai ini. Selepas itu satu laporan akan dibuat dan dihantar kepada saya seterusnya saya akan bawa kepada jemaah menteri untuk buat keputusan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Anggota PPDUEC yang telah dilantik pada 29 Oktober lalu adalah Pengasas Pusat Kajian dan Dokumentasi Pementasan Tradisional Malaysia (Pusaka), Eddin Khoo Bu Eng selaku pengerusi; Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab. Rahim dan Timbalan Presiden Dong Zong, Datuk Tan Yew Sing selaku ahli. - UTUSAN ONLINE