Pengurus Besar Kanan, Penjagaan Peribadi dan Isi Rumah Lam Soon Edible Oils Sdn. Bhd., En Francis Ng, pihaknya menggerakkan sumber untuk membantu komuniti kerana penularan wabak HFMD mencatatkan peningkatan mendadak 55,391 kes dari Januari hingga Ogos baru-baru ini.

“Kempen ABC untuk Kesihatan kami akan diadakan di prasekolah tidak lama lagi bagi mendidik kanak-kanak tentang bagaimana mengurangkan risiko dijangkiti dan menyebarkan HFMD. Kami akan mengajar cara-cara membasuh dan membersihkan tangan dengan betul.

“Ini kerana tangan yang bersih sangat membantu dalam menghalang penularan penyakit berjangkit,” katanya sebelum pelancaran kempen Antabax ABC di tadika R.E.A.L Kids Sunway, di sini hari ini. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi R.E.A.L Education Group Sdn. Bhd., Kenny Sim.

Aktiviti yang dijalankan adalah penyampaian mengenai bahaya HFMD menerusi penceritaan dan demonstrasi cara membasuh tangan secara berlagu diikuti latihan praktikal serta kuiz yang turut dibantu pasukan jururawat dari Universiti Mahsa. - UTUSAN ONLINE