Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM), Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, pihak­nya melihat YPC merupakan antara pertubuhan bukan kerajaan yang sangat aktif menjayakan banyak program pendidikan yang melibatkan pengetua, guru, pelajar dan juga ibu bapa.

“Usaha yang dibuat meninggalkan impak positif dan secara tidak langsung telah membantu pihak Kementerian Pendidikan,” katanya dalam majlis Permuafakatan Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat sekolah angkat YPC di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Acara tahunan yang dihadiri 150 guru Sekolah Angkat YPC itu turut dimeriahkan oleh Pengerusi YPC, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Antarabangsa YPC, Datuk Dr. Noel Robert.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2000, YPC komited menganjurkan pelbagai program pendidikan antaranya seminar untuk guru, bengkel teknik menjawab soalan peperiksaan dan ceramah motivasi di samping memperkenalkan Anugerah Guru Bestari.

Menurut Khair, anugerah itu merupakan manifestasi bahawa profesion keguruan merupakan satu kerjaya yang mulia dan perlu diberikan penghargaan oleh masyarakat.

“Anugerah yang diadakan pada setiap dua tahun ini merupakan satu penghargaan, pengiktirafan dan suntikan semangat kepada guru-guru yang dicalonkan oleh sekolah masing-masing terutama mereka yang berkhidmat dengan cemerlang,” katanya.

Selain itu, ujar beliau, YPC juga banyak menyalurkan bantuan kewangan kepada semua sekolah angkat bertujuan membantu mereka melaksanakan program pendidikan di peringkat sekolah masing-masing bagi meningkatkan kualiti dan penguasaan pelajar dalam akademik.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan sentiasa menyokong usaha yang digerakkan oleh YPC dan harus diteruskan oleh agensi dan pertubuhan bukan kerajaan lain.

“Pelbagai program pendidikan yang digerakkan YPC merupakan hasil kerjasama dan penglibatan pihak kementerian dan jabatan pendidikan di semua zon sekolah angkat YPC,” ujarnya.