Siri jerayawara yang diisi de­ngan sesi pembentangan dan mesyuarat ke Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Johor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Terengganu yang mewakili zon utara, selatan, timur dan tengah Semenanjung berse­pakat memutuskan wacana itu sebagai salah satu projek kokurikulum dan kesenian yang perlu diikuti oleh semua sekolah di bawah pemantauan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing.

Di Terengganu, wacana itu me­menuhi wawasan pengantarabangsaan JPN dalam usaha melahirkan pelajar kelas pertama di negeri itu.

Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan JPN, Ngah Bidin berkata, aktiviti itu memperkaya dan mencantikkan aktiviti kokurikulum, sekali gus menambah nilai kemenjadian murid, terutamanya kerana ia dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kumpulan Utusan.

Katanya , JPN akan menyokong usaha itu, dan teruja apabila sijil pencapaian dan penyertaan kelak akan bertaraf kebangsaan dan dinaik taraf ke tahap antarabangsa jika video terpilih dibawa oleh penaja iaitu Orando Holdings untuk ditayangkan semasa majlis-majlis sosial, korporat dan rasmi antarabangsa.

Malah, pihaknya akan mela­kukan pemeringkatan saringan bermula daripada tahap sekolah, daerah dan negeri terlebih dahulu bagi memastikan kualiti wakil JPN kelak memenuhi piawaian ketat negeri itu.

Di Johor pula, semua PPD di minta membuat siar raya tentang #muhibah kepada semua sekolah bagi memastikan konsep kesaksamaan ekuiti berlaku.

“Tapi, dalam pada masa yang sama, kami tidak akan berkompromi dengan kualiti kerana nilai sijil yang ditawarkan sangat tinggi,kerana kepada kami, bukan semua video sepatutnya layak menerima sijil,’’ tegas Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaannya, Yasman Jamsir.

Beliau berkata, pertandingan itu secara tidak langsung dapat membantu pelajar menyelami erti kata muhibah dalam pengisian masyarakat majmuk di negara ini.

Di Kedah, JPN akan menjadikan #muhibah sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kerana yakin program itu dapat membantu inisiatif kemenjadian murid.

Ketua Sektor Pengurusan Sekolah JPN Kedah, Rozaini Ahmad berkata, video yang dihasilkan oleh pelajar bukan sahaja boleh dikongsi dan digunakan sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, tetapi akan menjadi bahan sokongan bila pelajar hendak menyambung pelajaran kelak.

Beliau juga gembira kerana Utusan Malaysia telah membuka ruang yang luas kepada pelajar untuk menyalurkan kreativiti masing-masing dalam pertanding­an peringkat kebangsaan, malah akan dipanjangkan ke luar negara.

Di negeri Jelapang Padi itu, kata Rozaini, terdapat banyak sekolah yang telah dikenal pasti mempunyai kebitaraan dalam penghasilan video yang kreatif dan beliau meminta mereka terlibat menghasilkan video pendek berdurasi dua minit untuk mewakili negeri itu.

Wakil-wakil PPD yang hadir turut bersemangat menyatakan komitmen masing-masing bagi tujuan yang sama.

Di Kuala Lumpur, Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Zaidi Yazid berkata, pihak­nya me­nyam­but baik pertanding­an tersebut kerana pelajar turut diberi peluang untuk menulis iaitu memberi penerangan di dalam video itu yang secara tidak langsung mengasah bakat pelajar dalam bidang penulisan.

“Saya yakin selepas enam bulan dan setahun video-video tersebut dipaparkan di mana-mana sebagai rujukan dan akan me­­narik lebih ramai pelajar untuk menyertai pertandingan seperti ini,” ujarnya.

Katanya, di negara maju yang pernah dilawatinya, seperti di Korea Selatan, terdapat satu konsep dikenali program pembangunan pengisian bahan pengajaran dan pembelajaran yang dibangunkan oleh sarana bukan sekolah iaitu swasta, ibu bapa dan komuniti pada nisbah yang tertentu.

Katanya, apa yang dilakukan oleh Utusan Malaysia itu, memenuhi konsep pembangunan perisian berkenaan, dan justeru mahu semua sekolah menyambut program itu dengan bersungguh-sungguh.

Katanya deposit bahan video yang dihasilkan kelak boleh di­simpan dan disebarkan oleh BTP untuk pengayaan program kemenjadian murid, sekali gus menzahirkan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang menjadikan Bahasa Malaysia dan perpaduan sebagai medium teras di sekolah.