FADILLAH YUSOF

Presiden Gagasan, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, keadaan itu mengakibatkan tulisan jawi yang melambangkan keunikan dan keistimewaan masyarakat Melayu menjadi korban dan semakin terhakis dari segi penguasaannya.

“Apabila masyarakat negara ini mula menggunakan tulisan rumi secara rasmi pada 1963, maka secara tidak langsung tulisan jawi mula dipinggirkan dan tidak lagi dilihat penting sebagai tulisan bahasa Melayu. Pengajaran jawi di sekolah juga tidak lagi ditekankan.

“Menjadi kewajipan setiap ahli Gagasan memupuk semula rasa cintakan tulisan jawi khususnya membabitkan generasi muda bagi mengelakkannya menjadi bahan sejarah yang dipamerkan di muzium semata-mata,” katanya ketika berucap merasmikan Persida­ngan Agung Gagasan Ketujuh di Indera Mahkota di sini hari ini.

Menurut Fadillah, berdasarkan fakta sejarah, kedatangan Islam ke alam Melayu telah mengubah landskap kehidupan masyarakatnya ter­hadap penggunaan tulisan jawi yang digunakan secara meluas di Tanah Melayu satu masa dahulu.

“Usia tulisan jawi telah mencecah hampir 1,000 tahun berbanding tulisan rumi yang hanya mula digunakan secara meluas selepas tahun 1960.

“Tulisan jawi juga mempunyai nilai sentimental dan merupakan identiti yang memperlihatkan martabat serta jati diri Melayu,” katanya.

Beliau berkata, Gagasan turut mencadangkan kerajaan menubuhkan Mak­mal In­tegrasi Nasio­nal­ bagi mengkaji program sa­ma ada jangka pendek atau panjang dalam me­ning­katkan integrasi antara masyarakat di negara ini.

Katanya, Gagasan ya­kin makmal itu akan menja­di platform terbaik ke arah menggubal formula melahirkan bangsa yang progresif dan mempunyai jati diri.

“Gagasan mengharapkan kepesatan pembangunan masa kini dan akan datang seiring dengan ikatan integrasi nasional yang patuh, utuh serta terus dipertahankan generasi akan datang,” katanya.