Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau mahu kecemerlangan itu diterjemahkan menerusi pelbagai bidang termasuk akademik, kokurikulum, sahsiah diri dan sukan.

“MCKK merupakan sekolah berprestasi tinggi, premier dan mempunyai sejarah sejak dahulu lagi dan kini ditambah dengan program Diploma International Baccalaureate.

“Jadi, tidak boleh ada sedikit pun hal yang boleh memberikan kesan negatif. Jika sudah bekerja sebagai kontraktor misalnya, hasil kerja mestilah tiada cacat celanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap kepada warga MCKK dalam satu tinjauan mesra ke Kompleks International Baccalaureate Sultan Azlan Shah di institusi tersebut di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Yayasan MCKK, Tun Mohammed Hanif Omar; Pengarah Jabatan Pendidikan Perak, Datuk Mat Lazim Idris dan Pengetua MCKK, Anand Baharuddin.

Pembinaan kompleks tersebut yang diilhamkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada tahun 2005, telah berjaya direalisasi dengan pengambilan kohort pertama bagi program Diploma International Baccalaureate bermula tahun 2011.

Pada sesi lawatan tersebut, Mahdzir turut diberikan taklimat oleh Anand mengenai isu-isu MCKK yang antara lain memerlukan pembinaan sebuah bangunan tambahan bagi pusat sumber dan pembelian bas sekolah baharu untuk menggantikan dua bas yang telah uzur ketika ini. - UTUSAN ONLINE