Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 27(1), Shah Alam, Mohamad Fadzli Abdul Rahman berkata, kejayaan seseorang murid dalam bidang sukan yang merupakan satu kerjaya profesional bermula de­ngan penglibatannya dalam kejohanan peringkat sekolah.

“Oleh sebab itu, penganjuran kejohanan sukan sekolah perlu di tahap profesional bagi melahirkan atlet profesional,” katanya dalam ucapan alu-aluan Kejohanan Olahraga Tahunan (KOT) SK Seksyen 27(1) di Shah Alam, Se­langor, baru-baru ini.

Majlis perasmian kejohanan itu disempurnakan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Mohd. Hafiz Habil.

Rumah Kuning muncul johan keseluruhan KOT 2018 SK Seksyen 27(1) diikuti Rumah Hijau dalam acara yang berakhir pada kira-kira pukul 1 petang dengan pertandingan lumba 4 x 100 meter yang disertai ibu bapa dan guru.

Menurut Mohamad Fadzli, acara tahunan itu adalah aktiviti utama bagi menggalakkan penyertaan murid dalam bidang sukan selain penganjuran acara lain sebelum itu seperti Kejohanan Bola Sepak Piala Guru Besar pada 14 April lalu.

“Penganjuran bersama Soccer Ace Football Academy itu melibatkan tiga kategori iaitu murid bawah 8, 10 dan 12 tahun bertujuan melahirkan lebih ramai bakat cilik bola sepak,” ujarnya.