Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis, Prof. Ir. Ts. Dr. R. Badlishah Ahmad berkata, hal yang demikian kerana konsep keadilan itu bukanlah semata-mata bererti memberi hak yang sama rata kepada semua orang.

Beliau berkata, dalam konteks keadilan, adalah penting untuk semua pihak memahami senario masyarakat di negara ini demi untuk menjaga keharmonian sesama kaum.

“Perlembagaan sendiri telah menggariskan perkara-perkara yang menjadi ‘pasak’ negara dan sewajarnya menjadi pegangan teguh dan difahami oleh semua.

“Seluruh masyarakat perlu meraikan kepelbagaian bangsa dengan mengutamakan kestabilan, kemajuan, keadilan, keterangkuman, kebebasan, hak dan demokrasi. Ini termasuklah hak pendidikan,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas ucapan Maszlee di hadapan penuntut-penuntut Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang semalam, mengenai isu kuota matrikulasi bukan bumiputera dan keperluan fasih berbahasa Mandarin untuk memohon pekerjaan.

Kedua-dua perkara itu katanya, tidak boleh dilihat secara terpisah.

Jelas Maszlee, dalam hal ini, adalah tidak adil sekiranya kuota matrikulasi untuk bukan bumiputera dilonggarkan tetapi pada masa yang sama para majikan masih menetapkan syarat perlu fasih berbahasa Mandarin untuk mendapatkan pekerjaan.

R. Badlishah seterusnya menarik perhatian mengingatkan semua pihak bahawa Maszlee bukanlah semata-mata ahli politik sebaliknya ialah Menteri Pendidikan yang bertanggungjawab sebagai ketua pentadbiran.

Sehubungan itu kata beliau, Maszlee perlu menjaga keseimbangan komposisi kaum daripada segi agihan kekayaan melalui penyediaan peluang pendidikan yang adil berlandaskan perlembagaan negara sendiri.

“Adalah tidak wajar isu perkauman seperti itu dipolitikkan oleh mana-mana pihak yang akhirnya hanya akan membawa kepada ketidakstabilan emosi rakyat.

“Sebagai Naib Canselor Unimap dan berada dalam persekitaran pendidikan semenjak 1990-an lagi, saya merasakan apa yang dikatakan Menteri (Maszlee) adalah jelas dan bukan bersifat sentimen perkauman,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE