Oleh itu, kata Pengarah Darul Quran Jakim, Dr. Nordin Ahmad, pemilihan pelajar dilakukan bagi mengenal pasti hanya pelajar yang layak mengikuti pengajian di institusi ini dengan syarat paling utama mereka mesti mempunyai minat yang tinggi dan berbakat dalam membaca serta menghafaz al-Quran.

Menurutnya, pelajar memainkan 70 peratus peranan dalam mengikuti pengajian manakala pensyarah yang juga penghafaz al-Quran pula bertindak sebagai mentor.

“Pelajar di sini perlu mencatatkan hafazan mereka dalam Buku Rekod Hafazan yang akan disahkan oleh guru mereka,” katanya.

Selain itu, penubuhan Darul Quran juga bagi melahirkan golo­ngan ulama pewaris nabi, melahirkan cendekiawan muslim huf­faz yang celik sains atau melahirkan profesional huffaz yang menghayati agama, melahirkan qurra’ (Ahli Qiraat) yang mahir dalam bacaan al-Quran dan al-Qiraat.

Pada masa yang sama, Darul Quran juga berperanan melahirkan generasi al-Quran yang bertakwa, berilmu dan bermanfaat kepada pembangunan negara dan ummah; mendidik dan melatih pelajar dalam bidang tahfiz al-Quran; dan membentuk generasi berakhlak mahmudah pemangkin ke arah huffaz yang cemerlang dan ummah yang dinamik.

Menurut Nordin, ketika ini terdapat lima program pengajian yang dijalankan iaitu Ijazah Sarjana Muda Al-Quran & Al-Sunah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)-Darul Quran Jakim, Dip­loma Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat selain program Pensijilan Tahfiz Profesional, program Pengujian Darul Quran, Sijil Tahfiz Malaysia (STM) dan Sijil Tinggi Tarannum Al-Quran (STTQ).

Ujar beliau, setakat ini, Darul Quran menerima 7,341 pelajar dari dalam dan luar negara antaranya Singapura, Kemboja, Indonesia, Thailand dan Brunei.

“Malah, Darul Quran telah me­laksanakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) menerusi kerjasama strategik bersama Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri (MTQN) untuk memperkembangkan dan meluaskan bidang pengajian al-Quran negara,” tambah beliau.

Menurutnya, pada tahun 2000, Darul Quran meluaskan jaringan strategik bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), untuk menawarkan program pengajian di peringkat pensijilan yang mana lepasan program ini disalurkan ke UIAM bagi mengikuti pe­ngajian dalam bidang perubatan, kejuruteraan, farmasi dan seni bina.

“Darul Quran turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS) bagi menjalankan Program Pensijilan Tahfiz Al-Quran.

“Seterusnya pada tahun 2009, Darul Quran memperkasa penawaran pengajiannya dengan me­laksanakan program Ijazah Sarjana Muda Pengajian al-Quran dan Sunah dengan Kepujian secara kerjasama dengan USIM,” jelas­nya.

Program kerjasama ini, dilaksanakan sepenuhnya di Darul Quran Jakim dan mendapat peng­iktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada tahun 2012.

Sehingga tahun 2014, Darul Quran berjaya menghasilkan 5,553 graduan iaitu 97 graduan Ijazah Sarjana Muda, 4,169 (Diploma Tahfiz al-Quran) dan 1,287 (Pensijilan Tahfiz al-Quran).

Dari segi pengiktirafan, Darul Quran Jakim telah menerima Sijil MS ISO 9001:2008 dan dipilih sebagai Pusat Latihan Sistem Latihan Dual Nasional bagi bidang Pengurusan Masjid Tahap 3 oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia.