Pada awalnya, kurang faham tentang isu kasut hitam ini, namun selepas melihat dan membacanya dalam media sosial, rupa-rupanya Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik kata mulai tahun depan para pelajar kena pakai kasut hitam.

Katanya, itu antara isu dan ‘sua­ra hati’ ibu bapa!

Terkedu sejenak Teropong Ka­wan. Berfikir dan cuba mengi­ngati serta menganalisis pelbagai isu dalam sistem pendidikan negara yang tidak pernah ‘surut’ kera­na ada sahaja yang diperkatakan.

Namun, sebagai ibu bapa yang mempunyai dua anak yang masih bersekolah di sekolah rendah dan seorang di kolej, Teropong Kawan menganggap isu kasut bukanlah sesuatu yang terlalu ‘mendesak’ dalam kalangan pelbagai isu yang menyelubungi sistem pendidikan negara.

Maaflah Pak Menteri. Teropong Kawan bukan tidak bersetuju, tetapi seharusnya tangani terlebih dahulu isu-isu yang lebih mendesak!

Sekadar menyebut beberapa isu, contohnya beg sekolah berat yang terpaksa ‘dipikul’ anak-anak setiap hari ketika ke sekolah, bebanan guru-guru yang tidak pernah selesai sejak dahulu dan akses internet yang bertaraf ‘siput’ sedangkan guru-guru diminta memberikan pelbagai laporan secara dalam talian.

Itu belum lagi kurikulum yang sentiasa berubah-ubah yang amat ‘menekan’ guru-guru dan anak-anak. Yang jadi mangsa guru-guru sehinggakan ramai yang me­ngalami ‘tekanan’ perasaan tetapi demi melaksanakan tugas dan amanah mendidik anak bangsa, mereka hadapi dan tempuhi juga.

Anak-anak juga jadi ‘pusing’ apabila kurikulum yang diperke­nalkan sering diubah-ubah. Kasihanilah mereka. Mereka jadi bahan uji dan mangsa keadaan.

Mungkin ada yang berkata, itu isu kepimpinan kerajaan yang lama, sekarang sudah Malaysia Baharu.

Benar sudah kerajaan Malaysia Baharu, tapi inilah masanya kerajaan Pakatan Harapan memberikan ‘harapan’ dan pendekatan baharu bagi menyelesaikan masalah yang ada.

Inilah peluang dan gunakan­nya sebaik mungkin kerana rak­yat, termasuk juga beribu-ribu guru dan pelajar meletakkan harapan tinggi kepada kerajaan baharu yang ada.

Mengenai isu kasut hitam, sekali lagi Teropong Kawan berpendapat perkara ini tidak terlalu mendesak kerana kasut putih juga ada kelebihannya dalam sistem pendidikan negara.

Mungkin ramai yang tidak menyedarinya, diakui kasut putih memang mudah kotor. Namun, kenapa anak-anak diminta memakai kasut putih?

Teropong Kawan berpanda­ngan, kasut putih lebih mendisip­linkan anak-anak. Mereka harus menjaga kasut masing-masing supaya tampil bersih setiap hari. Ini sebahagian daripada disiplin diri dalam proses pembesaran.

Justeru, inilah didikan secara tidak langsung yang cuba diterap­kan, bukan sahaja menjaga kebersihan kasut tersebut, malah menyemai sikap ‘sense of belonging’ atau rasa kepunyaan yang tinggi terhadap barang atau hak masing-masing.

Akhirnya, sekali lagi ‘Maaflah Pak Menteri’ dahulukan apa yang lebih penting.

Teropong Kawan: Teringat pakai kasut sekolah RM8.